PROGRAM MOBILITI KERIS MAS: KEMBARA JAUHARI DI BUMI THAILAND | FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
» NEWS » PROGRAM MOBILITI KERIS MAS: KEMBARA JAUHARI DI BUMI THAILAND

PROGRAM MOBILITI KERIS MAS: KEMBARA JAUHARI DI BUMI THAILAND

Mungkin imej peta dan teks  Mungkin imej teks

Serdang, 18 Oktober 2025 – Program Mobiliti Keris Mas: Kembara Jauhari di Bumi Thailand anjuran Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berlangsung dengan jayanya secara fizikal dari 1 hingga 10 Oktober 2025 di wilayah Songkhla dan Nakhon Si Thammarat, Thailand, serta diteruskan secara dalam talian pada 15 hingga 18 Oktober 2025 melalui platform Google Meet.
Program ini merupakan inisiatif Fakulti Pengajian Pendidikan dalam memperkukuh hubungan akademik dan budaya antara Malaysia dan Thailand, selain memperluas jaringan antarabangsa pelajar dan pensyarah. Seramai 29 orang pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian (BPBMDK) telah menyertai program ini bersama dua orang pegawai pengiring, Dr. Halimah Jamil dan Dr. Marzni Mohamed Mokhtar dari Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, FPP UPM.
Antara pengisian utama program ialah lawatan rasmi ke Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pada 2 Oktober 2025. Delegasi mobiliti berpeluang menghadiri sesi taklimat dan perbincangan bersama pegawai konsulat mengenai peranan institusi tersebut dalam menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, di samping menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajar.
Pada 5 Oktober 2025, peserta turut menyertai aktiviti gotong-royong komuniti di Kampung Tindon, melibatkan pembersihan kawasan Masjid Darulibadah dan sekolah berhampiran. Program ini turut dimeriahkan dengan permainan tradisional dan aktiviti sukaneka bersama 55 orang murid Madrasah Imaneeyah Foundation School serta guru Madrasah Miftihuh Ulum, yang berjaya merapatkan hubungan antara pelajar Malaysia dan komuniti tempatan.
Kemuncak program fizikal ialah Majlis Perasmian Program Mobiliti di Universiti Walailak pada 7 Oktober 2025 yang disusuli dengan lawatan sekitar kampus dan sesi perkongsian ilmu mengenai sistem pendidikan di Thailand. Sesi ini memberi pendedahan bermakna kepada para peserta tentang keunikan sistem akademik dan budaya pendidikan negara jiran.
Selain itu, peserta turut mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman pokok bakau di Perusahaan Pemuliharaan Hutan Bakau Ban Leam, di samping melawat kawasan nelayan dan tapak warisan budaya seperti Wat Chedi (Ai Khai), Wat Na Phra Borommathat, Bota Skywalk, The Central Islamic Council of Nakhon Si Thammarat, serta Mueang Krabi District.
Sambungan program secara dalam talian pada 15 hingga 18 Oktober 2025 pula menampilkan penyertaan pensyarah dan pelajar daripada Universiti Walailak dan UPM melalui sesi perkongsian ilmu bersama Bahasa Melayu Language and Culture Club (MLCC). Sesi interaktif ini membincangkan topik berkaitan bahasa dan budaya Melayu di rantau Asia Tenggara, serta menggalakkan pertukaran pandangan antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.
Menurut Dr. Halimah Jamil, Pensyarah Bahasa Melayu dan pegawai pengiring program, “Program ini bukan sahaja membuka ruang untuk pelajar memahami budaya dan sistem pendidikan di Thailand, tetapi juga membina semangat kesukarelawanan serta memperkukuh jati diri mereka sebagai duta kecil bahasa dan budaya Melayu di peringkat antarabangsa. Melalui interaksi dan pengalaman lapangan, pelajar dapat melihat sendiri bagaimana bahasa dan budaya menjadi jambatan kepada hubungan antara masyarakat serantau.”
Secara keseluruhannya, Program Mobiliti Keris Mas: Kembara Jauhari di Bumi Thailand berjaya mencapai objektifnya dalam memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, di samping membentuk pelajar yang berdaya saing, berilmu dan berjiwa global. Program ini turut menjadi platform penting dalam mengukuhkan jaringan akademik antara Universiti Putra Malaysia dan Universiti Walailak, Thailand ke arah kecemerlangan bersama.
 
Mungkin imej satu orang atau lebih dan teks  Mungkin imej dais dan teks

Date of Input: 23/10/2025 | Updated: 23/10/2025 | intanzuliana

MEDIA SHARING

FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
F, (04:55:34pm-05:00:34pm, 06 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]