Program Inspirasi Minda Hijau 2019 (IM-HIJAU2019) | FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
» NEWS » Program Inspirasi Minda Hijau 2019 (IM-HIJAU2019)

Program Inspirasi Minda Hijau 2019 (IM-HIJAU2019)

Fakulti Pengajian Pendidikan UPM anjur Program Inspirasi Minda Hijau 2019

(IM-HIJAU2019)

 

SERDANG – Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Inspirasi Minda Hijau 2019 (IM-HIJAU2019) buat pertama kalinya yang bertemakan “Hindari Plastik Sekali Guna” bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2019 yang telah di adakan pada 18 Oktober 2019 di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Perasmian IM-HIJAU2019 telah disempurnakan oleh YBhg. Dr. Nagulendran A/L Kangayatkarasu, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC). Selain itu, pengucap utama yang telah berkongsi maklumat berkenaan penjagaan alam sekitar dan kesedaran kepentingan penggunaan plastik khususnya bagi generasi yang akan datang. Menurut pengarah program Dr. Nurzatulshima binti Kamarudin, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Pendidikan, tetamu dan peserta yang terlibat di dalam program ini adalah seramai 400 orang termasuk CEO YaHijau, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Eko Inovasi, MESTECC, Pengerusi Persatuan Guru STEM Malaysia, Wakil ADUN Seri Serdang, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Sri Serdang serta pelajar dan warga UPM dari pelbagai Pusat Tanggungjawab turut hadir bagi menjayakan program yang penuh memberikan pengetahuan dan kesedaran dalam diri.

 

Program yang bertemakan “Hindari Plastik Sekali Guna” yang merupakan pelan jangka panjang Kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia. Bertepatan dengan tema tersebut, IM-Hijau2019 turut menyediakan aktiviti kesedaran tentang kepentingan mengurangi penggunaan plastik dalam kehidupan seharian. Beberapa aktiviti yang menjurus kepada cara atasi lambakan plastik turut dikongsi disamping aktiviti pendedahan gaya hidup hijau melalui pencetusan idea penggunaan semula plastik. Ilmu dan kemahiran ini seiring dengan matlamat kerajaan dalam memberi kesedaran tentang kepentingan kelestarian hijau dalam kehidupan dan persekitaran kerja.

 

Bertepatan dengan kedudukan pertama dalam ranking melalui penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2018, usaha UPM dalam kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitarnya amat relevan. Sebagai fakulti yang terlibat secara langsung dalam mendidik generasi masa hadapan, penerapan sikap prihatin dan ambil peduli terhadap persekitaran kehidupan perlu ditekankan. Aktiviti dan program yang menjurus kepada keterbukaan minda dan sikap positif dalam menghadapi isu kelestarian hijau seperti pemanasan global dan perubahan iklim wajar didedahkan. Kesedaran tentang isu tersebut perlu diwar-warkan bagi memastikan generasi masa depan bersedia dengan ilmu dan kemahiran yang berkaitan. Melalui program ini, diharap keterbukaan minda yang positif mampu menghasilkan tindakan yang selari dalam menangani isu pemanasan global sekali gus dapat memelihara kelangsungan hidup.

 

 

Date of Input: 24/10/2019 | Updated: 11/06/2020 | asyrafamin

MEDIA SHARING

FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
BVMQKTk:10:19