PERSIDANGAN PENGAJIAN MELAYU MALAYSIA–CHINA 2025 (PPMMC 2025) | FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
» NEWS » PERSIDANGAN PENGAJIAN MELAYU MALAYSIA–CHINA 2025 (PPMMC 2025)

PERSIDANGAN PENGAJIAN MELAYU MALAYSIA–CHINA 2025 (PPMMC 2025)

Mungkin imej satu orang atau lebih, hospital dan teks

Guangzhou, 24 hingga 26 September 2025 – Persidangan Pengajian Melayu Malaysia–China 2025 (PPMMC 2025) telah berlangsung dengan jayanya di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS). Persidangan ini merupakan inisiatif bersama antara Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Sabzali Musa Kahn, Dekan Akademi Pengajian Melayu (APM) dan Profesor Dr. Liu Zhiqiang, Dekan Fakulti Asia Tenggara, GDUFS, bersempena dengan penubuhan rasmi Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM.
Dengan tema “Globalisasi Pengajian Melayu: Cabaran dan Masa Depan”, persidangan ini menghimpunkan para sarjana dan penyelidik dari seluruh Asia untuk membincangkan strategi memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, komunikasi dan diplomasi di peringkat antarabangsa.
Dalam usaha memperluas jaringan keilmuan serantau, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (FPP UPM) turut diberi penghormatan sebagai pemakalah jemputan, membawakan kepakaran dalam bidang pendidikan dan pengajian Bahasa Melayu. Delegasi FPP UPM terdiri daripada Dr. Shamsudin Othman, Dr. Marzni Mohamed Mokhtar, Dr. Halis Azhan Mohd Hanafiah dan Dr. Halimah Jamil.
Menurut Dr. Marzni Mohamed Mokhtar, penyertaan FPP UPM dalam PPMMC 2025 menjadi manifestasi komitmen fakulti dalam memperkukuh ekosistem ilmu Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, “Keterlibatan FPP UPM dalam persidangan ini bukan sekadar berkongsi kepakaran, tetapi juga memperlihatkan peranan kami dalam memartabatkan pendidikan Bahasa Melayu sebagai satu bidang strategik yang mampu menembusi sempadan global. Ini adalah langkah penting dalam merealisasikan hasrat UPM untuk menjadi hab ilmu serantau yang memperkasa nilai bahasa dan budaya Melayu,” ujar beliau.
Penyertaan ini sekali gus membuka ruang baharu bagi FPP UPM memperluas kolaborasi akademik dengan universiti-universiti di China, khususnya dalam bidang pendidikan bahasa dan penyelidikan budaya. Ia juga mengukuhkan kedudukan FPP UPM sebagai hab pendidikan Bahasa Melayu yang berpengaruh di Asia Timur, seiring dengan aspirasi nasional untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan diplomasi antarabangsa.
 

Date of Input: 23/10/2025 | Updated: 23/10/2025 | intanzuliana

MEDIA SHARING

FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (12:43:51am-12:48:51am, 12 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]