Perkhemahan Wawasan Kemakmuran Peduli Pendidikan (We-Care 2019) Memperkasa Stem | FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
» NEWS » Perkhemahan Wawasan Kemakmuran Peduli Pendidikan (We-Care 2019) Memperkasa Stem

Perkhemahan Wawasan Kemakmuran Peduli Pendidikan (We-Care 2019) Memperkasa Stem

 

Serdang – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) dan Persatuan Guru STEM Malaysia (PGSM) telah mengadakan Program Perkhemahan Wawasan Kemakmuran Peduli Pendidikan (We-Care 2019) pada 21-23 Disember ini. Program ini berfokus kepada pertumbuhan serta penjanaan idea berfokuskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam pembelajaran yang lebih saksama dan memberi nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi negara dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti dan bermaruah. Program WE-Care 2019 ini melibatkan murid daripada empat sekolah angkat FPP iaitu tiga sekolah dari Program Transformasi Minda Anak Muda serta sebuah sekolah Tahfiz.

Program perkhemahan ini telah disertai oleh seramai 124 orang murid dan 19 orang guru pengiring yang terdiri daripada SMK LKTP Belitong, Kluang Johor, SKK SK Bandar 2, Paloh Hinai, Pekan Pahang, SK Seri Suria, Kuala Lumpur dan SRI Integrasi Tahfiz Al Ghazali, Puchong Selangor. Program ini telah diketuai oleh pakar dalam pendidikan STEM iaitu Dr. Nurzatulshima Kamarudin dari FPP dengan kerjasama dari beberapa orang pakar yang lain iaitu PM Dr. Tengku Fadilah Tengku Kamalden (Keselamatan di Air), Dr. Roxana Dev Omar Dev (Pendidikan Jasmani dan Kesihatan), Dr. Mohd. Mokhris Md. Ajat (Perubatan Veterinar), dan Dr. Mazliana Ahmad Kamaruddin (Pendidikan Sains).         

Antara aktiviti-aktiviti yang telah disusun sepanjang program perkhemahan ini berjalan adalah slot perkongsian kepakaran bertajuk Inovasi STEM dalam Kemakmuran Bersama, ‘Science in team Building’, Gerakan Kemakmuran STEM serta Kemakmuran Insan, Alam dan Fauna. Selain itu, terdapat juga aktiviti berbentuk bengkel keselamatan di air yang mengintegrasikan konsep STEM dan juga aktiviti kesenian serta kebudayaan yang menonjolkan tema irama, pakaian dan kebudayaan Malaysia.  Menurut Dr. Nurzatulshima selaku pengarah program, aktiviti-aktiviti ini telah disusun serta digarap dengan baik bertujuan menerapkan elemen-elemen dan konsep STEM dalam pembelajaran murid seterusnya mencetus idea untuk masa hadapan pendidikan yang lebih holistik serta berdaya maju.

Selain itu, aktiviti yang dirancang ini adalah juga bersesuaian dengan Prinsip Panduan WKB2030, antaranya melalui Prinsip keenam iaitu Masyarakat Peribelajar, penerapan budaya dan polisi pembelajaran berterusan yang akan memastikan penambahbaikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai terus berlaku. Bersesuaian dengan konsep pembelajaran kreatif dan inovatif, pelajar  didedahkan dengan pembelajaran di luar bilik darjah dengan mengaitkan Prinsip #15 Kedaulatan dan Kelestarian dengan menjana idea kreatif dan mengamalkan gaya hidup hijau melalui pengintegrasian STEM.

Program selama tiga hari dua malam ini telah menyaksikan pelbagai pihak bergabung tenaga serta kepakaran bagi memastikan kelancaran serta kejayaan dalam mencapai objektif pelaksanaannya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, YB. Puan Dr Siti Mariah Binti Mahmud telah merasmikan majlis penutupan program ini. Melalui ucapan YB pada majlis penutupan tersebut, beliau berharap dengan adanya program seperti ini, konsep STEM dapat diperkasakan serta dihayati oleh segenap lapisan murid di negara ini seterusnya menyumbang kepada kemakmuran serta kemajuan negara.

 

 

Date of Input: 27/12/2019 | Updated: 27/12/2019 | asyrafamin

MEDIA SHARING

FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
B1606519762