
5 Jun 2025, Serdang – Fakulti Pengajian Pendidikan bersama pelajar kursus SPE3308 Kesihatan Komuniti dan Kesejahteraan, dengan kerjasama Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) dan Kolej Pendeta Zaaba (KPZ), telah menganjurkan Program LET’S-PLOG@UPM sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025.
Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Cakna Kelestarian Alam Sekitar (PCKAS) yang berlangsung dari 14 April hingga 25 Jun 2025, diketuai oleh Saudari Nur Afira Natasha Azman.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan penglibatan komuniti dalam penjagaan alam sekitar secara holistik, yang merangkumi aspek kesihatan, kesejahteraan mental dan fizikal, kreativiti, serta keusahawanan komuniti, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Selain itu, lima lagi program telah dijalankan di bawah tonggak ini yang dipimpin oleh Saudara Abdul Wahid Saharudin, iaitu E-Poster Eco-Islamik (mengetengahkan mesej kelestarian berasaskan ayat al-Quran), E-Upcycle (memupuk inovasi dalam penghasilan produk daripada bahan terpakai, E-Musical (menyampaikan mesej alam sekitar melalui seni muzik dan tari), Bengkel Upcycle Botol-Kaca dan Bengkel Upcycle Pakaian Terpakai (memperkenalkan kaedah kreatif untuk mengitar semula bahan buangan kepada produk yang berguna dan bernilai).
Menurut pensyarah kursus ini, Dr. Roxana Dev Omar Dev, kelestarian hidup dari perspektif kesihatan komuniti dan pendidikan merangkumi enam komponen utama, iaitu Kelestarian Kesihatan, Kelestarian Alam Sekitar, Tingkah Laku / Gaya Hidup Sihat, Kesejahteraan Sosial, Pendidikan Sepanjang Hayat dan Polisi dan Sistem Negara. Kesemua komponen ini perlu diterapkan dalam kehidupan agar lahirnya generasi yang syumul dan lestari.
Date of Input: 13/06/2025 |
Updated: 13/06/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING