
Serdang, 5 November 2025 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial melalui program FPP Prihatin dengan menyerahkan dua unit komputer riba (notebook) hasil sumbangan seorang pensyarah fakulti kepada pelajar yang memerlukan bagi membantu kelangsungan proses pembelajaran mereka.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, dengan disaksikan oleh barisan Timbalan Dekan dan Ketua Jabatan FPP.
Penerima pertama, Wan Irfan Hakim Bin Wan Ismail, pelajar program Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian, berasal daripada keluarga berpendapatan rendah. Ayahnya sebelum ini bekerja sebagai buruh namun tidak lagi dapat bekerja disebabkan masalah kesihatan, manakala ibunya merupakan suri rumah. Pelajar mempunyai empat orang adik-beradik dan merupakan anak keempat.
Penerima kedua Muhammad Afifuddin Bin Misruji merupakan Pelajar Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani) dengan Kepujian, juga anak seorang buruh dan suri rumahtangga. Pelajar mempunyai empat orang adik-beradik; abang sulung bekerja sebagai peniaga burger dan telah berkeluarga, kakak kedua bekerja sambil belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, manakala kakak ketiga bekerja dalam bidang perniagaan tudung.
Dalam ucapan ringkasnya, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, “Program FPP Prihatin ini mencerminkan komitmen fakulti dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan. Kita mahu setiap pelajar mempunyai peluang pembelajaran yang sama rata tanpa dibatasi kekangan kewangan atau peralatan. Dalam masa yang sama, saya amat menggalakkan seluruh warga FPP untuk meneruskan budaya menyumbang dan membantu pelajar yang memerlukan, sebagai tanda solidariti dan kepedulian bersama.”
Beliau turut berharap agar sumbangan tersebut menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus gigih mencapai kejayaan dan membina masa depan yang lebih baik, di samping memperkukuh nilai ihsan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga fakulti.
Date of Input: 10/11/2025 |
Updated: 10/11/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING