FPP Rai Kecemerlangan Warga Melalui Majlis Apresiasi 2026 | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» BERITA » FPP Rai Kecemerlangan Warga Melalui Majlis Apresiasi 2026

FPP Rai Kecemerlangan Warga Melalui Majlis Apresiasi 2026

 

   
 
SERDANG, 8 Julai 2026 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Majlis Apresiasi FPP 2026 bertemakan Movie Character (Hollywood vs Bollywood) sebagai tanda penghargaan kepada warga fakulti atas komitmen, pencapaian dan sumbangan cemerlang dalam memacu kecemerlangan FPP.
Majlis ini menyaksikan penyampaian pelbagai kategori anugerah kepada staf akademik, Pegawai Pengurusan dan Profesional serta staf pelaksana. Pemilihan penerima adalah berdasarkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI), prestasi kerja dan sumbangan signifikan kepada pembangunan, kecemerlangan serta penjenamaan Fakulti Pengajian Pendidikan. Turut diraikan ialah para pesara FPP sebagai menghargai jasa, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka kepada fakulti. Menurut Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, "Majlis Apresiasi ini merupakan manifestasi penghargaan fakulti kepada seluruh warga FPP yang telah menyumbang dengan penuh dedikasi. Kecemerlangan yang kita capai hari ini adalah hasil komitmen, kesepakatan dan budaya kerja berprestasi tinggi yang terus diperkasakan selaras dengan aspirasi True North UPM dan agenda Leading in Educational Studies."
Sementara itu, mewakili pesara FPP, Encik Othman Ishak menzahirkan penghargaan kepada fakulti atas ingatan dan penghormatan yang diberikan. "Walaupun telah menamatkan perkhidmatan, kami sentiasa berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar FPP. Semoga fakulti terus melakar kecemerlangan dan menjadi peneraju dalam bidang pendidikan." Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan warga FPP, malah memperkukuh budaya menghargai jasa, mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan seluruh warga fakulti.
Setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah dan sekalung penghargaan kepada para pesara serta seluruh warga FPP atas sumbangan berterusan dalam mengangkat kecemerlangan Fakulti Pengajian Pendidikan.
 
 

 

     

Tarikh Input: 17/07/2026 | Kemaskini: 17/07/2026 | intanzuliana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (02:02:48am-02:07:48am, 19 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]