UPM Terima Kunjungan Rasmi Menteri Pendidikan Republik Somalia | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» BERITA » UPM Terima Kunjungan Rasmi Menteri Pendidikan Republik Somalia

UPM Terima Kunjungan Rasmi Menteri Pendidikan Republik Somalia

  

Serdang, 12 Jun 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan rasmi delegasi dari Republik Somalia yang diketuai oleh Yang Terhormat Farah Sheikh Abdulkader, Menteri Pendidikan Republik Somalia. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri kunjungan rasmi delegasi Somalia ke beberapa universiti awam di Malaysia bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

Kunjungan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di samping meneroka peluang kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi di Malaysia dan Somalia.
 
  
 
Sesi lawatan rasmi yang berlangsung di Putra Future Classroom, Fakulti Pengajian Pendidikan, turut disertai oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM, serta barisan pengurusan kanan universiti dan fakulti.
Delegasi turut dibawa melawat ke Makmal Kecemerlangan TVET (Pendidikan Sains Pertanian) yang menjadi simbol komitmen UPM dan Fakulti Pengajian Pendidikan dalam memperkasa pendidikan berteraskan kemahiran dan inovasi.
YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan dalam ucapannya menyatakan bahawa kunjungan ini mencerminkan kesungguhan UPM dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa, terutamanya dengan negara-negara di benua Afrika.
 
 
  
 
“Kerjasama ini membuka ruang luas kepada pertukaran pelajar dan pensyarah, pembangunan penyelidikan bersama serta pemantapan kapasiti institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.
UPM yang menerajui pelan tindakan Blueprint Keterjaminan Makanan juga melihat peluang strategik untuk kerjasama dalam agenda keterjaminan makanan bersama kerajaan Somalia. Ini sekaligus memperkukuh kedudukan UPM sebagai rakan strategik dalam diplomasi pendidikan dan pembangunan mampan berteraskan ilmu pengetahuan,” katanya.
Lawatan ini menandakan satu langkah penting ke arah hubungan dua hala yang lebih erat dalam bidang pendidikan tinggi serta menyokong pembangunan mampan global melalui kerjasama antarabangsa.
 

Tarikh Input: 13/06/2025 | Kemaskini: 13/06/2025 | intanzuliana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
F, (11:24:39pm-11:29:39pm, 05 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]