 |
|
 |
SURABAYA, INDONESIA, 15 Jun – Seramai 20 orang pelajar Bacelor Pendidikan dalam Pendidikan Jasmani dengan Kepujian (BPDPJDK), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia telah menyertai Program Mobiliti Pendidikan Berasaskan Pengalaman (ExL) UPM–UNESA 2026 yang berlangsung selama lapan hari bermula 8 hingga 15 Jun 2026 di Fakulti Ilmu Keolahragaan dan Kesehatan, Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Surabaya, Indonesia. Program anjuran Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan dengan kerjasama Pusat Antarabangsa (i-PUTRA) serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar ini bertujuan memperkukuh pengalaman pembelajaran antarabangsa pelajar melalui pendekatan Experiential Learning (ExL), selaras dengan agenda pengantarabangsaan universiti dan pembangunan modal insan global. Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian akademik dan amali yang berimpak tinggi termasuk lawatan institusi, sesi perkongsian ilmu, penerokaan makmal teknologi dan inovasi dalam sains sukan, diskusi akademik bersama pelajar UNESA serta pelaksanaan projek komuniti di sekitar Surabaya. Program ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk memahami perkembangan teknologi pemakanan dalam bidang sains sukan di Indonesia di samping memperkukuh kefahaman terhadap kepelbagaian budaya dan amalan masyarakat serantau.
 |
|
 |
Selain memberi nilai tambah dari sudut akademik, program mobiliti ini berjaya meningkatkan kemahiran insaniah pelajar khususnya dalam aspek komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan serta kebolehpasaran graduan. Melalui tugasan berkumpulan dan interaksi rentas budaya bersama komuniti setempat serta pelajar antarabangsa, peserta memperoleh pengalaman pembelajaran autentik yang mampu membentuk jati diri dan daya tahan dalam mendepani cabaran global. Pelaksanaan projek komuniti yang melibatkan kolaborasi antara pelajar UPM dan UNESA turut memberi pendedahan bermakna kepada peserta mengenai kepentingan kesihatan, kesejahteraan komuniti serta amalan kelestarian dalam kehidupan seharian. Inisiatif ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti, kesejahteraan dan perkongsian strategik. Menurut Pegawai Pemantau dan Penyelaras Program, Dr. Roxana Dev Omar Dev, program mobiliti ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada pelajar dari sudut ilmu dan pengalaman antarabangsa, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan akademik dan kolaborasi strategik antara UPM dan UNESA. Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini mampu memperluas peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi. Program mobiliti antarabangsa ini diharap dapat melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing di peringkat global serta memiliki nilai kepimpinan, kemanusiaan dan kesedaran kelestarian yang tinggi. Selaras dengan aspirasi UPM untuk menyediakan pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik kepada pelajar, inisiatif seperti ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan graduan holistik yang bersedia berfungsi secara efektif dalam landskap dunia yang semakin dinamik dan mencabar.
Tarikh Input: 30/06/2026 |
Kemaskini: 30/06/2026 | intanzuliana
PERKONGSIAN MEDIA