
PASIR GUDANG, 8 November 2025 – Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan Program JIWA PUTRA – Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti di Balai Komuniti Jalan Delima 10, Taman Cahaya Masai, dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Zon (JKPZ) Cahaya Masai serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Program berteraskan semangat Pendidikan Pengembangan ini menampilkan pelbagai aktiviti khidmat masyarakat seperti penanaman pokok di sekitar kawasan komuniti, pembuatan mudball, sesi pemindahan ilmu, serta kenduri rakyat yang melibatkan penyertaan aktif komuniti setempat.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ahli Majlis Zon Cahaya Masai, Yang Berbahagia Encik Norizam bin Md Yunus, diikuti ucapan wakil fakulti oleh YBrs. Dr. Ahmad Aizuddin Md Rami, dan seterusnya dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin.
Menurut Dr. Ahmad Aizuddin, program ini bukan sahaja memperkukuh elemen pendidikan pengembangan dalam kalangan mahasiswa, malah menjadi platform untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar, tadbir urus komuniti, serta pembangunan sumber manusia yang mampan.
Melalui pelaksanaan inisiatif ini, UPM terus memperkukuh hubungan kolaboratif dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat ke arah mewujudkan komuniti yang lestari, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi universiti sebagai peneraju kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan, dan khidmat kepada masyarakat.
Tarikh Input: 10/11/2025 |
Kemaskini: 10/11/2025 | intanzuliana
PERKONGSIAN MEDIA