UPM Dan JPPM Meterai Memorandum Persefahaman Perkukuh Kerjasama Strategik | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN educ
» BERITA » UPM dan JPPM Meterai Memorandum Persefahaman Perkukuh Kerjasama Strategik

UPM dan JPPM Meterai Memorandum Persefahaman Perkukuh Kerjasama Strategik

 

  
 
SERDANG, 6 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Pengajian Pendidikan telah mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), Kementerian Sumber Manusia pada 6 Mac 2026 bertempat di Ballroom, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM.
Majlis ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademia dan agensi kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan, latihan profesional, penyelidikan serta pembangunan kepakaran dalam perhubungan perusahaan.
Dalam ucapan aluannya, YBhg. Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, menzahirkan penghargaan kepada pihak JPPM atas kesediaan menjalin kerjasama strategik bersama UPM melalui pemeteraian MoU tersebut. Beliau menegaskan bahawa majlis ini bukan sekadar simbolik, malah merupakan manifestasi komitmen bersama dalam memperkukuh sinergi antara dunia akademia dan agensi kerajaan bagi mendepani cabaran landskap perhubungan perusahaan yang semakin dinamik.
 
  

Beliau turut menyatakan bahawa sebagai sebuah universiti penyelidikan, UPM sentiasa berpaksikan kepada kerangka True North UPM yang menekankan kecemerlangan berimpak, pemerkasaan bakat serta pengukuhan jaringan kolaborasi strategik. Sehubungan itu, kerjasama antara UPM dan JPPM diyakini mampu menyumbang kepada pembangunan penyelidikan berasaskan bukti serta penghasilan cadangan dasar yang relevan untuk negara.

Melalui pemeteraian MoU ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam beberapa bidang strategik termasuk pembangunan program latihan profesional, khidmat perundingan dalam pengurusan konflik organisasi, penyelidikan bersama serta pembangunan pusat kecemerlangan dalam bidang perhubungan perusahaan.
Majlis tersebut dihadiri oleh YBrs. Encik Sutekno Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia. dan YBrs. Encik Aminuddin Ab. Rahaman, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), Kementerian Sumber Manusia.
Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, pegawai-pegawai kanan JPPM serta warga Fakulti Pengajian Pendidikan.
Pemeteraian MoU ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif kolaboratif yang berimpak tinggi dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan keharmonian hubungan perusahaan di Malaysia.

Tarikh Input: 09/03/2026 | Kemaskini: 09/03/2026 | intanzuliana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
W, (04:10:30am-04:15:30am, 11 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]