SERDANG, 9 Januari 2026 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan TESL Research Colloquium and Workshop dari 5 hingga 9 Januari 2026 sempena lawatan Profesor Pelawat Kehormat, Profesor Dr. Shawn Loewen dari Michigan State University, Amerika Syarikat.
Program selama lima hari ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran penyelidikan dalam kalangan pensyarah serta pelajar Bacelor dan Pascasiswazah TESL, selain menggalakkan pembangunan profesional akademik dan memperluas jaringan kerjasama antarabangsa antara UPM dan institusi luar negara.
Profesor Dr. Shawn Loewen merupakan tokoh terkemuka dalam bidang pengajaran bahasa kedua dan linguistik terapan. Beliau memiliki Scopus h-index 35 dan tersenarai dalam Stanford University’s World’s Top 2% Scientists berdasarkan impak sitasi Scopus. Beliau juga merupakan penerima PROSE Award 2025 oleh Association of American Publishers (AAP). Antara penerbitan terkini beliau termasuk A Practical Guide to Second Language Teaching and Learning (2024) dan Introduction to Instructed Second Language Acquisition edisi ketiga (2025).
Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, FPP, Prof. Madya Dr. Lilliati Ismail, kehadiran Profesor Pelawat Kehormat memberi nilai tambah yang besar kepada komuniti akademik fakulti. “Lawatan Profesor Dr. Shawn Loewen membuka ruang pembelajaran langsung bersama sarjana antarabangsa dan mengukuhkan usaha fakulti dalam membangunkan penyelidikan berimpak tinggi serta kerjasama strategik di peringkat global,” katanya.
Antara pengisian program ialah sesi dialog penyelidikan berkaitan hala tuju kajian dan peluang kolaborasi, forum akademik, ucap tama, bengkel pengajaran dan penyelidikan untuk pelajar Bacelor Pendidikan TESL, bengkel lanjutan untuk pelajar pascasiswazah, serta kolokium dan pembentangan kajian oleh pelajar PhD TESL yang menerima maklum balas secara langsung daripada Profesor Dr. Shawn Loewen.
Program ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan terkini dalam instructed second language acquisition, task-based language teaching, serta penggunaan teknologi dalam pengajaran bahasa kedua. Bimbingan yang diberikan turut membantu pelajar pascasiswazah dalam aspek metodologi penyelidikan, penulisan akademik dan penentuan hala tuju kajian.
Salah seorang peserta, Siti Noor Farhana binti Zaipul Bahari, pelajar PhD TESL semester pertama, menyifatkan program ini sebagai platform yang sangat bermakna. Beliau berkata sesi pembentangan dan perbincangan bersama Profesor Pelawat Kehormat telah membantu memperhalusi cadangan kajian serta meningkatkan keyakinan dalam menjalankan penyelidikan.
Secara keseluruhan, penganjuran TESL Research Colloquium and Workshop ini mencerminkan komitmen berterusan Fakulti Pengajian Pendidikan dalam menyediakan pengalaman pembelajaran bertaraf antarabangsa serta memperkasa kualiti pengajaran dan penyelidikan TESL di UPM.