SERDANG, 9 - 11 Mei 2024 - Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (FPP, UPM) telah bekerjasama dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia (BPSBP, KPM) menganjurkan Sustainnovation Workshop. Bengkel yang dilaksanakan selama tiga hari dua malam ini telah dirasmikan oleh Tuan Ab Aziz bin Mamat, Pengarah BPSBP, KPM.
Sustainnovation Workshop merupakan siri pertama bagi program Raikan Inovasi @ SBP yang dirancang di bawah inisiatif #20 Pelan Transformatif SBP iaitu Pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21). Menurut Dr. Sharifah Intan Sharina Syed Abdullah yang mengetuai penganjuran program ini bersama-sama 9 ahli pasukan yang lain, Sustainnovation Workshop direka bentuk untuk menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan guru, melahirkan generasi pelapis berdaya inovatif dan menyumbang kepada penyelesaian masalah kelestarian, dan memberi pendedahan peluang pengkomersilan produk inovasi serta potensi kolaborasi merentas tahap pendidikan serta industri.
Melalui tema “Inovasi STEM untuk Kelestarian”, seramai 225 orang peserta, iaitu 71 orang guru dan 142 murid SBP dari seluruh Malaysia, serta 4 orang guru dan 8 orang murid sekolah rendah dari sekitar Selangor telah menyertai Sustainnovation Workshop.
Lapan orang pakar telah berkongsi kepakaran dengan para peserta bengkel tentang pengetahuan dan kemahiran agar dapat menghasilkan produk inovasi yang lebih bermakna dan bertanggungjawab. Selain Dr. Sharifah Intan Sharina sendiri, pakar-pakar lain yang terlibat adalah Dr. Jazihan Mahat, Prof. Madya Dr. Zaida Nor Zainudin, Dr Muhammad Asyraf Che Amat, Dr. Aini Marina Ma’arof, Prof. Madya Dr. Habibah Ab Jalil dan Dr. Arnida Abdullah dari Fakulti Pengajian Pendidikan, serta Dr. Diyana Nawar Kasimon dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail yang sempat melawat program ini menyatakan hasrat beliau agar Sustainnovation Workshop dan Raikan Inovasi @ SBP yang pertama kali diadakan pada tahun ini hanyalah permulaan dan diharap dapat dilaksanakan setiap tahun pada masa akan datang untuk kumpulan sasaran yang lebih besar.
Tarikh Input: 15/05/2024 |
Kemaskini: 16/05/2024 | anisnabilah
PERKONGSIAN MEDIA