Suara Emas Mahasiswa FPP Bergema, Mohamad Haikal Juara Senada Putra 19 | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN educ
» BERITA » Suara Emas Mahasiswa FPP Bergema, Mohamad Haikal Juara Senada Putra 19

Suara Emas Mahasiswa FPP Bergema, Mohamad Haikal Juara Senada Putra 19

 

  
 
Serdang, 6 Mei 2026– Pelajar Tahun Satu Program Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian, Mohamad Haikal Aiman Abdullah, mengharumkan nama Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan Grand Finale Senada Putra: Suara Putraku Ke-19 yang berlangsung di Panggung Percubaan PKKSSAAS, UPM.
Pertandingan berprestij yang menghimpunkan 12 finalis mahasiswa Tahun Satu UPM itu berlangsung meriah dengan persembahan penuh bertenaga dan berkualiti daripada para peserta. Program Senada Putra dianjurkan sebagai platform mencungkil serta mengasah bakat seni suara mahasiswa di samping membentuk keyakinan diri, disiplin dan sahsiah pelajar.
Mohamad Haikal Aiman Abdullah dari Fakulti Pengajian Pendidikan berjaya memikat hati panel juri profesional yang terdiri daripada Dato' Ramli MS, Dato' Mokhzani Ismail serta Aisha Retno untuk muncul sebagai juara pertandingan.
 
  

 

Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Encik Husalshah Rizal Hussian berkata, program tersebut bukan sekadar pertandingan nyanyian, malah menjadi medium pembangunan bakat dan profesionalisme mahasiswa. Menurut beliau, para peserta turut menjalani latihan vokal dan persembahan bersama tenaga profesional industri seni termasuk dari Istana Budaya sejak Oktober tahun lalu.
Kejayaan Mohamad Haikal Aiman Abdullah membuktikan mahasiswa FPP bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut menyerlah dalam bidang seni dan kreativiti, selaras dengan aspirasi UPM dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.
 
 

Tarikh Input: 08/05/2026 | Kemaskini: 08/05/2026 | intanzuliana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (11:34:17pm-11:39:17pm, 17 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]