SERDANG, 23 Januari 2026 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program Penghayatan Israk dan Mikraj: FPP Berselawat bertempat di Read@Uni FPP, Foyer Blok A, dari jam 10.00 pagi. Program ini bertujuan menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta menghayati peristiwa agung Israk dan Mikraj sebagai sumber kekuatan rohani dan disiplin ibadah.
Program yang menghimpunkan warga fakulti ini menampilkan penceramah jemputan, Dr. Izuli Dzulkifli dari Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, FPP yang mengupas makna Israk dan Mikraj sebagai perjalanan keimanan yang mengingatkan umat Islam kepada kebesaran Allah SWT, di samping menegaskan kedudukan hamba di sisi Allah sebagai martabat tertinggi.
Dalam pengisiannya, Dr. Izuli menjelaskan bahawa peristiwa Israk merujuk perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, manakala Mikraj ialah kenaikan Baginda dari Masjidil Aqsa menembusi lapisan langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Peristiwa ini dinyatakan dalam Surah Al-Isra ayat 1 serta diperincikan dalam Surah An-Najm ayat 13–18, termasuk pertemuan Rasulullah SAW dengan Jibril AS dalam rupa asalnya dan penyaksian keagungan ciptaan Allah SWT.
Beliau turut menekankan keberkatan Masjidil Aqsa sebagai bumi para nabi—tempat lahir dan wafat ramai rasul serta tanah yang subur—serta hikmah berlakunya Israk dan Mikraj pada waktu malam, iaitu waktu terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan.
Mengulas pengajaran utama Mikraj, Dr. Izuli menegaskan bahawa solat merupakan anugerah dan jemputan Allah kepada hamba-Nya, sepertimana ungkapan “as-solatu mi’rajul mukmin”. Pensyariatan solat lima waktu—yang asalnya difardukan 50 waktu sebelum diringankan atas saranan Nabi Musa AS—menjadi bukti rahmat Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Beliau turut mengaitkan kepentingan khusyuk dalam solat berdasarkan Surah Al-Ankabut ayat 45, yang menegaskan peranan solat dalam mencegah perbuatan keji dan mungkar. Antara punca solat tidak berkesan ialah kelalaian dari aspek menjaga waktu, pelaksanaan yang tidak sempurna, serta hati yang tidak hadir mengingati Allah. Peserta turut disaran memperbetulkan niat, memahami bacaan solat, menjaga disiplin waktu, dan menghayati solat sebagai dialog dengan Allah SWT.
Program ini juga menyentuh fasa kesedihan Rasulullah SAW sebelum Israk dan Mikraj—pemergian Saidatina Khadijah RA dan Abu Talib, serta penolakan dakwah di Taif—yang akhirnya digantikan Allah dengan kemuliaan Israk dan Mikraj sebagai penguatan jiwa. Antara amalan yang dianjurkan ialah memperbanyakkan solat sunat, zikir, istighfar, membaca al-Quran, serta memanfaatkan waktu malam untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Penganjuran Penghayatan Israk dan Mikraj dan FPP Berselawat ini mencerminkan komitmen FPP dalam meraikan hari kebesaran Islam berlandaskan syariat, serta memupuk penghayatan ibadah yang berterusan dan istiqamah dalam kalangan warga universiti.
Tarikh Input: 26/01/2026 |
Kemaskini: 26/01/2026 | intanzuliana
PERKONGSIAN MEDIA