SERDANG, 17 Disember 2025 – Pemerkasaan kepimpinan pendidikan tinggi menjadi fokus utama perbincangan dalam Putra Education Forum Series anjuran Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), yang berlangsung di Ballroom FPP hari ini, sekali gus menegaskan komitmen FPP dalam membentuk hala tuju pendidikan tinggi negara.
Forum berprestij ini menghimpunkan tokoh kepimpinan pendidikan negara bagi membincangkan isu-isu strategik berkaitan autonomi universiti, tadbir urus institusi dan pemerkasaan kepimpinan pendidikan tinggi dalam mendepani cabaran global serta tuntutan ekosistem pendidikan abad ke-21.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, yang menekankan kepentingan autonomi universiti sebagai pemangkin kecemerlangan akademik, inovasi dan daya saing institusi pengajian tinggi negara. Menurut beliau, pendidikan tinggi masa kini memerlukan kepimpinan yang berwibawa, berani membuat keputusan serta berupaya mengimbangi akauntabiliti dengan kebebasan institusi demi kelestarian sistem pendidikan negara.
Forum ini dimoderatorkan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Profesor Fakulti Pengajian Pendidikan, yang berjaya mengemudi perbincangan secara kritis dan berfokus, sekali gus membuka ruang dialog bermakna antara panel dan para peserta.
Sesi forum turut menampilkan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh, Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebagai panel utama. Beliau berkongsi pandangan strategik berasaskan pengalaman luas dalam kepimpinan pendidikan dan pentadbiran negara, khususnya berkaitan keperluan memperkukuh autonomi institusi pengajian tinggi sebagai asas kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
Perbincangan yang berlangsung telah mengupas pelbagai dimensi penting termasuk hala tuju dasar pendidikan tinggi, peranan kepimpinan universiti dalam era pendigitalan, serta keperluan sinergi antara kerajaan, institusi dan industri.
Selepas tamat sesi forum, Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh dan tetamu jemputan turut dibawa melawat fasiliti Fakulti Pengajian Pendidikan, termasuk pendedahan kepada kemudahan pembelajaran terkini seperti Bilik Pintar Seewo yang menampilkan penggunaan teknologi pintar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Penganjuran Putra Education Forum Series ini mencerminkan komitmen berterusan Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM dalam menyediakan platform intelektual berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan dasar dan amalan pendidikan tinggi yang lebih progresif, inklusif dan mampan di Malaysia.
Tarikh Input: 22/12/2025 |
Kemaskini: 22/12/2025 | intanzuliana
PERKONGSIAN MEDIA