Pelajar FPP Merealisasikan Agroteknologi Dan Keusahawanan Melalui Program Farmtastic Agrobazar 2026 | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN educ
» BERITA » Pelajar FPP Merealisasikan Agroteknologi dan Keusahawanan melalui Program Farmtastic Agrobazar 2026

Pelajar FPP Merealisasikan Agroteknologi dan Keusahawanan melalui Program Farmtastic Agrobazar 2026

 

  
 
Serdang, 5 Januari 2026 - Pelajar Tahun 3 Program Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian (BPSPDK), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) Sesi 2025/2026 telah menganjurkan Program Farmtastic Agrobazar 2026 sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dalam bidang agroteknologi dan keusahawanan.
Program ini dilaksanakan di bawah kursus STE4100 Pengajaran Pengurusan Agroteknologi dan STE3305 Pendidikan Perniagaan dan Keusahawanan, dengan bimbingan pensyarah kursus Ts. Dr. How Shwu Pyng dan Dr. Arnida Abdullah, serta sokongan pegawai dan penolong pegawai pertanian Fakulti Pengajian Pendidikan.
Turut terlibat dalam penganjuran program ini ialah pelajar Tahun 3 Bacelor Pendidikan Sains Rumah Tangga dengan Kepujian (BPSRTDK) Sesi 2025/2026 yang mempamerkan hasil projek Internet of Things (IoT) yang dibangunkan sepanjang sesi amali semester ini. Pameran tersebut memperlihatkan aplikasi teknologi dalam bidang pendidikan dan pertanian moden selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
Program Farmtastic Agrobazar 2026 turut dimeriahkan dengan kehadiran komuniti guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kundang serta pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi pendidikan dan komuniti luar.
Melalui penganjuran program ini, pelajar berpeluang mengaplikasikan pembelajaran semasa dan selepas kelas amali melalui pelbagai aktiviti pemindahan ilmu kepada komuniti. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah penyediaan semaian keratan batang, penyediaan medium tanaman, serta penghasilan baja organik berasaskan kulit telur dan sisa sayuran.
Bagi memenuhi keperluan kursus STE4100 dan STE3305, pelajar turut melaksanakan aktiviti keusahawanan melalui jualan hasil pertanian seperti jagung manis, salad, kailan, pak choy dan kangkung yang ditanam sendiri sepanjang sesi amali semester ini di Ladang 10B Pendidikan Sains Pertanian, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM. Aktiviti ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal dalam pertanian, malah memberi pendedahan langsung kepada pengurusan jualan, pemasaran produk dan pengendalian perniagaan sebenar.
Menurut Pengarah Program Farmtastic Agrobazar 2026, Saudara Muhammad Othman Zakaria, secara keseluruhannya program ini berjaya menjadi platform pembelajaran holistik yang mengintegrasikan teori, amali, teknologi dan keusahawanan. Inisiatif ini selari dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia dalam melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar selepas bergraduasi.
 
  
 
 

Tarikh Input: 07/01/2026 | Kemaskini: 07/01/2026 | intanzuliana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (12:04:30am-12:09:30am, 12 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]