Serdang, 29 Mei 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Pengajian Pendidikan telah menganjurkan Konvensyen TVET Negara 2025 pada 27 dan 28 Mei 2025 baru-baru ini bertempat di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM. Bertemakan “TVET untuk Kelestarian dan Keterjaminan Makanan”, konvensyen ini bertujuan memperkukuh peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam membentuk tenaga kerja mahir yang berdaya saing serta menyokong agenda pembangunan mampan negara.
Konvensyen ini akan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, penggubal dasar, penggiat industri, pelajar, dan komuniti untuk berkongsi ilmu, pengalaman, serta membincangkan strategi memperkasa ekosistem TVET di Malaysia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib, Pengerusi RISDA yang mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Beliau turut melancarkan secara rasmi Konvensyen TVET Negara, Makmal Kecemerlangan TVET (Pendidikan Sains Pertanian) serta Bilik Darjah Pintar Seewo.
Selepas pelancaran, tetamu kehormat dan para delegasi dibawa melawat kemudahan baharu termasuk Makmal Kecemerlangan TVET dan Bilik Darjah Pintar Seewo, serta reruai pameran yang mempamerkan inovasi dalam pendidikan pertanian.
Yang Berhormat Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib dalam ucapannya berkata, "pelancaran ini menandakan satu langkah penting dalam usaha UPM menyokong pembangunan modal insan dalam bidang pertanian melalui pendidikan TVET yang berasaskan teknologi, sekaligus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan utama TVET pertanian di Malaysia. Usaha murni Fakulti Pengajian Pendidikan menganjurkan Konvensyen TVET ini jelas memperlihatkan komitmen UPM terhadap pengukuhan ekosistem TVET dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan."
Menurut Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM, "Salah satu pencapaian utama hari ini ialah pelancaran Makmal Kecemerlangan TVET (Pendidikan Sains Pertanian) dan Bilik Darjah Pintar Seewo. Fasiliti ini bukan hanya mercu tanda fizikal, tetapi ia mencerminkan pendekatan progresif UPM dalam menyediakan infrastruktur pembelajaran masa depan. Ia akan menjadi pusat latihan dan inovasi, mendukung agenda pertanian pintar dan pendidikan teknikal berteraskan teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), dan pembelajaran digital."
Tarikh Input: 30/05/2025 |
Kemaskini: 30/05/2025 | mohdsyafiq
PERKONGSIAN MEDIA