
PUTRAJAYA, 17 Disember 2025 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pendidikan bertaraf global apabila menerima Anugerah Highest International Student Enrolment in 2025: Postgraduate sempena Majlis Gala Dinner UPM – ASEAN Cultural Nexus 2025: A Celebration of Excellence yang berlangsung di Everly Hotel Putrajaya baru-baru ini.
Anugerah berprestij tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Bin Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang FPP dalam merekodkan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa peringkat pascasiswazah tertinggi bagi tahun 2025.
Menurut Prof. Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, pencapaian ini adalah hasil komitmen seluruh warga fakulti dalam memperkukuh kualiti akademik dan jaringan antarabangsa. “Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap usaha berterusan warga FPP dalam memartabatkan kecemerlangan akademik, memperluas kolaborasi antarabangsa serta memastikan program pascasiswazah yang ditawarkan kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global. Pencapaian ini selaras dengan aspirasi fakulti sebagai Leading in Educational Studies,” katanya.
Majlis anjuran Pusat Antarabangsa Putra (i-PUTRA) itu berfungsi sebagai platform strategik bagi menghargai sumbangan warga universiti dan rakan pemegang taruh dalam menjayakan agenda pengantarabangsaan UPM melalui program mobiliti inbound dan outbound, summer programme serta jaringan strategik serantau ASEAN.
Pengiktirafan yang diterima ini sekali gus memperkukuh peranan Fakulti Pengajian Pendidikan sebagai peneraju dalam menyokong aspirasi UPM ke arah kecemerlangan global, selari dengan slogan fakulti “Leading in Educational Studies.”
Tarikh Input: 23/12/2025 |
Kemaskini: 23/12/2025 | intanzuliana
PERKONGSIAN MEDIA