FPP RANGKUL TIGA ANUGERAH KEBERHASILAN GRADUAN UPM 2025 | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» BERITA » FPP RANGKUL TIGA ANUGERAH KEBERHASILAN GRADUAN UPM 2025

FPP RANGKUL TIGA ANUGERAH KEBERHASILAN GRADUAN UPM 2025

 

 
SERDANG, 20 Mei 2026 – Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (FPP, UPM) terus mengukuhkan kecemerlangan apabila berjaya merangkul tiga pengiktirafan utama sempena Majlis Perasmian UPM Career & Futurepreneur Festival 2026 (UPM CFF 2026) anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) pada 20 Mei 2026.
 
FPP telah dinobatkan sebagai penerima: Tempat Pertama Anugerah Kadar Bekerja Graduan (GE) 2025, Tempat Pertama Anugerah Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) 2025 dan Anugerah Kebolehpasaran Graduan Keseluruhan Terbaik UPM 2025.
 
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia kepada Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan FPP bersama barisan pengurusan fakulti. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), serta wakil pihak industri dan warga universiti.
 
  
 
Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan FPP dalam melahirkan graduan yang berkualiti, resilien, kompeten serta memenuhi keperluan pasaran dan masyarakat sejajar dengan aspirasi universiti dalam memperkasa kebolehpasaran graduan.
Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil kerjasama seluruh warga fakulti termasuk pensyarah, staf, pelajar, alumni serta rakan industri yang sentiasa komited memastikan graduan FPP kekal relevan dan berdaya saing.
 
Menurut beliau, pengiktirafan itu juga selari dengan aspirasi FPP sebagai fakulti yang “Leading in Educational Studies” melalui penawaran pendidikan berkualiti tinggi, pembangunan sahsiah holistik serta pemerkasaan kompetensi graduan dalam pelbagai bidang pendidikan dan profesional.
“Anugerah ini menjadi motivasi kepada warga FPP untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik dan kebolehpasaran graduan melalui pendekatan pendidikan yang inovatif, inklusif dan berpaksikan keperluan masa hadapan,” katanya.
 
Majlis tersebut turut menghimpunkan pelbagai inisiatif pembangunan kerjaya, keusahawanan dan jaringan industri bagi memperkasa kesiapsiagaan graduan menghadapi dunia pekerjaan dan cabaran global masa kini.

Tarikh Input: 29/05/2026 | Kemaskini: 29/05/2026 | intanzuliana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (05:08:56pm-05:13:56pm, 31 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]