EduBond FEISTA 2026 PLATFORM PERKUKUH PEMBANGUNAN INSANIAH PELAJAR | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» BERITA » EduBond FEISTA 2026 PLATFORM PERKUKUH PEMBANGUNAN INSANIAH PELAJAR

EduBond FEISTA 2026 PLATFORM PERKUKUH PEMBANGUNAN INSANIAH PELAJAR

 

  
 
SERDANG, 17 Mei 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan (FEDSSCO) menerusi Exco Aktiviti dan Pembangunan Insaniah dengan kerjasama Educ Club, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan program EduBond Fiesta 2026 bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan staf fakulti melalui pelbagai aktiviti santai, interaktif dan menyeronokkan. Program ini turut menjadi platform dalam membina semangat kerjasama dan kerja berpasukan, meningkatkan tahap kesihatan fizikal serta memupuk budaya pembelajaran dan persekitaran kerja yang positif dalam kalangan warga fakulti.
Program yang berlangsung meriah itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penglibatan seramai 40 ahli FEDSSCO serta kira-kira 400 orang pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan. Program ini turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan dan Dr. Nor Azni Abd Aziz, Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni) yang memberikan sokongan terhadap penganjuran program berteraskan pembangunan sahsiah dan kebersamaan warga fakulti.
 
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan menerusi tiga zon utama yang disusun bagi memenuhi minat dan penglibatan peserta secara menyeluruh. Zon A menampilkan acara sukan rakyat seperti boling padang, galah panjang, lari ikat kaki dan lari dalam guni yang berjaya menceriakan suasana serta menghidupkan semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Sementara itu, Zon B memberi tumpuan kepada aktiviti berbentuk mind games seperti dam haji, congkak dan puzzle challenge yang menguji kreativiti, strategi serta daya pemikiran peserta. Zon C pula melibatkan aktiviti sukan seperti bola beracun, bola tampar dan basketball penalty yang turut mendapat penyertaan aktif daripada pelajar.
 
  
 
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan persembahan kebudayaan antara kelab yang berjaya menyerlahkan bakat, kreativiti dan keyakinan diri para pelajar. Persembahan tersebut bukan sahaja menghiburkan, malah turut memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan apresiasi terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan warga fakulti.
 
Program diakhiri dengan majlis penutup yang menyaksikan pengumuman pemenang bagi acara sukan dan persembahan kebudayaan, selain penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada para peserta. Secara keseluruhannya, EduBond Fiesta 2026 berjaya mencapai objektif penganjurannya serta memberikan pengalaman bermakna kepada semua peserta yang terlibat. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha memperkukuhkan hubungan silaturahim serta meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti fakulti selaras dengan aspirasi pembentukan mahasiswa holistik dan berdaya saing.

Tarikh Input: 29/05/2026 | Kemaskini: 29/05/2026 | intanzuliana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (02:51:11am-02:56:11am, 16 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]