Edaran Bubur Lambuk FPP Meriahkan Ramadan Di Pusat Islam UPM | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» BERITA » Edaran Bubur Lambuk FPP Meriahkan Ramadan di Pusat Islam UPM

Edaran Bubur Lambuk FPP Meriahkan Ramadan di Pusat Islam UPM

 

  

SERDANG, 10 Mac – Program Memasak dan Edaran Bubur Lambuk hasil kerjasama Pusat Islam dan Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Mac 2026 bertempat di Masjid UPM.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini melibatkan pelbagai aktiviti termasuk persediaan bahan, proses memasak, penyejukan, pembungkusan serta pemindahan bubur lambuk ke lokasi edaran sebelum diagihkan kepada orang ramai selepas solat Asar.
Seramai 44 orang staf Fakulti Pengajian Pendidikan telah terlibat sebagai sukarelawan bagi menjayakan program ini. Aktiviti memasak bubur lambuk telah diketuai oleh Dr. Rahimah Jamaluddin dari Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, manakala proses edaran bubur lambuk kepada orang ramai telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Wan Rarzuki Wan Jaafar.

  

Menurut dekan, program seperti ini bukan sahaja menghidupkan tradisi penyediaan bubur lambuk yang sinonim dengan bulan Ramadan, malah menjadi platform untuk memupuk semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti.
“Program ini bukan sekadar aktiviti kebajikan, tetapi juga medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga fakulti serta memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti sekitar melalui perkongsian rezeki di bulan Ramadan,” katanya.
Tambah beliau lagi, penglibatan warga fakulti dalam program berbentuk kesukarelawanan seperti ini mampu menyemai nilai empati, keprihatinan sosial serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan staf.
Penganjuran program ini diharapkan dapat terus memperkukuh budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti di samping menyemarakkan semangat Ramadan melalui amalan berkongsi dan membantu masyarakat.

 

  

Tarikh Input: 12/03/2026 | Kemaskini: 12/03/2026 | intanzuliana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
F, (07:08:38pm-07:13:38pm, 31 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]