AEDS 2026 Himpunkan Empat Negara, Perkasa Agenda Pendidikan Masa Hadapan ASEAN | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN educ
» BERITA » AEDS 2026 Himpunkan Empat Negara, Perkasa Agenda Pendidikan Masa Hadapan ASEAN

AEDS 2026 Himpunkan Empat Negara, Perkasa Agenda Pendidikan Masa Hadapan ASEAN

 

  
 
BALI, INDONESIA – ASEAN Education Deans Summit (AEDS) 2026 telah berjaya dianjurkan pada 5 hingga 8 April 2026 di Harris Hotel Seminyak, Bali sebagai platform utama yang menghimpunkan kepimpinan pendidikan tinggi dari rantau ASEAN dan antarabangsa.
Program berprestij ini merupakan inisiatif Majlis Dekan-Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia (MEDC) dengan penyelarasan oleh Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), serta dianjurkan bersama Universitas Pendidikan Ganesha (UNDIKSHA), Bali sebagai hos strategik. Mengangkat tema “Transforming Education for Sustainable Futures in the ASEAN Region”, sidang ini telah menarik penyertaan peserta dari empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, China dan Singapura.
Persidangan ini telah dimulakan dengan ucaptama oleh Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam (MEDC) merangkap Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar satu sistem, tetapi merupakan asas kepada masa depan rantau ini. Menurut beliau, “kita tidak sekadar membincangkan pendidikan, tetapi sedang membincangkan masa depan rantau ASEAN, kerana pendidikan adalah jiwa sesebuah negara dan asas kepada tamadun.”
 
  
 
Beliau turut mengingatkan bahawa dunia kini sedang bergerak pantas dengan perubahan teknologi, kecerdasan buatan dan cabaran global yang kompleks. Justeru, ASEAN perlu bertindak secara kolektif bagi memastikan sistem pendidikan kekal relevan dan berdaya saing. Dalam penegasannya, beliau menyeru agar institusi pendidikan tidak hanya melahirkan pelajar cemerlang secara akademik, tetapi juga insan yang mempunyai nilai, etika dan kesejahteraan holistik.
Sepanjang penganjuran, para peserta telah terlibat dalam sesi pembentangan akademik, perkongsian amalan terbaik serta perbincangan strategik melibatkan kepimpinan pendidikan, jaringan penyelidikan, mobiliti akademik dan inovasi dalam ekosistem pendidikan digital. Program ini turut diserikan dengan pelaksanaan lawatan akademik ke Universitas Pendidikan Ganesha (UNDIKSHA), Bali dan lawatan kebudayaan di sekitar Bali.
Kemuncak AEDS 2026 menyaksikan pembentangan Resolusi “Bali Declaration on ASEAN Education 2026” oleh Pengerusi MEDC sebagai satu dokumen penting yang menjadi panduan hala tuju pendidikan tinggi ASEAN yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Penganjuran AEDS 2026 diharap dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi di rantau ini serta menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan yang progresif dan berimpak tinggi di peringkat ASEAN.
 
  

 

Tarikh Input: 10/04/2026 | Kemaskini: 10/04/2026 | intanzuliana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (03:20:44pm-03:25:44pm, 30 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]