SENI ANYAMAN KETUPAT BAKAL LENYAP | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» ARTIKEL » SENI ANYAMAN KETUPAT BAKAL LENYAP

SENI ANYAMAN KETUPAT BAKAL LENYAP

Tidak lengkap setiap kali lebaran jika tiada ketupat yang merupakan juadah istimewa yang disediakan terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri. Makanan tradisional ini terkenal dan menjadi pilihan utama terutamanya bagi masyarakat di selatan Semenanjung tanahair.
Ketupat ini terhasil daripada daun kelapa yang muda dan dianyam menjadi sarung yang dipanggil sebagai kelongsong. Ianya dianyam dengan pelbagai bentuk dan jenis yang lazimnya dipanggil ketupat bawang, ketupat pasar dan ketupat sate.
Malah, ada juga orang lama yang berkemahiran menganyam berupaya menghasilkan pelbagai bentuk ketupat seperti ketupat burung, ketupat lembu, ketupat segitiga, ketupat jantung dan banyak lagi.
Ketupat daun kelapa atau ketupat asli ini juga dikenali sebagai ketupat nasi yang dimakan dengan pelbagai jenis lauk pauk seperti rendang, lodeh, serunding dan lain-lain.
Pada zaman moden ini, ketupat segera yang dibungkus dengan plastik lebih mudah diperolehi di pasaran kerana lebih mudah dan pantas untuk disediakan berbanding ketupat asli yang menggunakan daun kelapa yang perlu dianyam terlebih dahulu.
Kenikmatan merasai ketupat asli berdaun kelapa ini masih menjadi pilihan utama kerana ianya memberikan aroma asli yang lebih wangi dan rasa yang lebih enak. Namun, pada hari ini agak sukar untuk mendapatkan ketupat asli ini dan jika dijual harganya juga lebih mahal berbanding ketupat segera.
Kenaikan harga ketupat asli ini bukan semata-mata disebabkan harga daun kelapa, tetapi kos upah kepada individu yang pandai menganyam juga punca di atas kenaikan harga.
Melihat kepada trend golongan muda hari ini yang majoritinya tidak mahir untuk menganyam ketupat, situasi ini agak merisaukan kerana lama-kelamaan seni menganyam ketupat ini akan pupus dan lenyap sekiranya ianya tidak diwarisi oleh golongan muda dan anak-anak pada hari ini.
Acapkali mendengar ayat yang menyatakan “saya tidak pandai menganyam ketupat”, “pernah buat tapi sudah lupa” dan “tak pernah jadi bila menganyam”.
Pada masa kini, banyak kaedah dan saluran pembelajaran untuk belajar yang boleh diperolehi sama ada melalui bersemuka dengan mereka yang pandai menganyam, kursus, bengkel, video atau media sosial. Banyak video-video yang mengajar cara bagaimana hendak menganyam ketupat yang mudah untuk kita perolehi dan pelajari pada hari ini.
Kemahiran menganyam ini menuntut kesabaran yang tinggi, perlu dipelajari dengan tekun dan dipraktiskan berulang kali supaya kita mendapat kemahiran menganyam ini secara berterusan dan tidak dilupai. Bagi mereka yang pertama kali memang merasakan agak sukar, tetapi jika kita telah berjaya mendapat kemahiran tersebut, keseronokan akan dapat dirasai terutamanya apabila menjelang hari lebaran.
Suasana untuk menyambut hari lebaran akan pasti lebih meriah dengan adanya aktiviti menganyam dan memasak ketupat bersama-sama ahli keluarga. Kini, suasana ini semakin kurang dirasai apabila ketupat segera menjadi pilihan disebabkan tidak pandai menganyam.
Justeru itu, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia menggalakkan semua golongan masyarakat untuk belajar seni anyaman ketupat ini melalui Slot Edisi Khas Raya Dapur Putra Siri 11: Seni Anyaman Ketupat Tradisional yang boleh dilihat melalui Facebook UCTC UPM.
Ini juga merupakan sebahagian daripada kaedah dan usaha UCTC UPM untuk menghidupkan semula seni menganyam ketupat yang wajar dilakukan agar ia tidak lenyap begitu sahaja ditelan arus pemodenan.
Malah, keindahan seni anyaman dari nenek moyang kita ini akan terus dapat diwarisi dan dijadikan sebagai satu khazanah seni yang berharga untuk generasi baharu pada masa akan datang yang perlu kita pelihara.
Sumbangan artikel oleh: Puan Mahani Amat @ Halimi, University Community Transformation Centre - UCTC UPM

May be an image of wind chime

Tarikh Input: 30/04/2023 | Kemaskini: 30/04/2023 | mohdsyafiq

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
SXDdPAA~