Pihak Industri Tidak Boleh ‘kedekut’ Ilmu | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» ARTIKEL » Pihak industri tidak boleh ‘kedekut’ ilmu

Pihak industri tidak boleh ‘kedekut’ ilmu

 



BARU-BARU ini, kerajaan mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa untuk mengenal pasti langkah menarik penyertaan syarikat swasta dalam menjayakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan memastikan pelajar yang diambil dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan negara.

Melalui langkah itu, pemain industri utama negara termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terbabit terus mengurus latihan TVET, seterusnya menyediakan pelajar yang dilatih memasuki alam pekerjaan dengan pendapatan munasabah.

Langkah itu selaras dengan hasrat untuk memastikan institusi pendidikan kita dapat melahirkan tenaga buruh mahir yang menepati kehendak pasaran kerja. TVET adalah ilmu yang mengintegrasikan ilmu teoretikal dan praktikal dalam program akademik.

Ia mengaplikasikan proses pengajaran dan pembelajaran berorientasikan industri di mana penekanan kepada penggunaan peranti teknologi dan juga penyediaan perkhidmatan bagi menyokong industri perkilangan, pembuatan, perhotelan dan seumpamanya.

Sektor pembuatan dan perkhidmatan yang semakin kompleks pada hari ini memerlukan kita untuk bergerak dengan lebih tangkas dalam sistem pendidikan kita khususnya TVET. Perubahan pantas dalam teknologi, kemajuan sains dan kesinambungan hidup dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar memerlukan persiapan rapi khususnya pembangunan sumber manusia.

Justeru, keterlibatan industri akan menjadikan pendidikan TVET lebih progresif dan komprehensif. Ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memperkasa pendidikan TVET sebagai pendidikan perdana di negara ini.

Hubungan dua hala antara pihak penyedia pendidikan dengan pihak industri menjadi strategi terpenting bagi merealisasikan keberkesanan pendidikan TVET.

Pihak industri diharapkan dapat berkongsi teknologi-teknologi yang diaplikasikan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan institusi pendidikan agar kemahiran diperlukan oleh pihak industri dapat dilatih melalui program-program akademik.

Institusi pendidikan dalam masa sama dapat membantu industri bagi mencerna idea-idea baharu melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan. Justeru, lebih banyak produk baharu dapat dihasilkan bagi memperoleh keuntungan di kedua-dua belah pihak melalui penjualan dan pemasaran strategik.

Pendidikan TVET yang berorientasikan kemahiran ini perlu dipupuk melalui pembangunan bakat dan minat secara mapan sesuai dengan kemampuan individu terbabit. Justeru, pendekatan pendidikan TVET perlu bersifat pragmatik, iaitu berasakan pengalaman pembelajaran yang bersifat praktikal.

Sebagai contoh, pengendalian mesin pencetak tiga dimensi (3D), mengimpal logam dengan mesin kimpalan dan penyediaan set kulinari dan makanan bagi acara-acara rasmi dan tidak rasmi.

Sudah tiba masanya pendidikan TVET di negara ini diadun dengan ramuan tersendiri berdasarkan kepelbagaian rencam demografi­ masyarakat. Akademi TVET perlu ditubuhkan bagi mempergiat usaha pengecaman bakat kemahiran sama seperti sekolah-sekolah sukan dan seni yang sememangnya berorientasikan kemahiran psikomotor.

Akademi TVET ini perlu diurus tadbir oleh pakar-pakar daripada GLC melalui unit pembangunan sumber manusia supaya graduan daripada akademi terus dapat diserap masuk dalam sektor pekerjaan.

Pedagogi berorientasikan industri dapat memangkin kepada kebolehpasaran graduan TVET dalam sektor pekerjaan. Program TVET bersifat progresif akan kekal menjadi pilihan program akademik yang relevan kerana revolusi industri akan terus berubah dari semasa ke semasa.

Pendidikan konvensional diharapkan dapat menggarap pedagogi TVET supaya graduan-graduan hari ini mudah untuk ditempatkan di sektor pekerjaan setelah tamat pengajian. – UTUSAN

PROF. MADYA DR. MUHD. KHAIZER OMAR, Universiti Putra Malaysia (UPM)

sumber - https://www.melaysiakini.com/pihak-industri-tidak-boleh-kedekut-ilmu-81652.html?fbclid=IwAR2UsbLAEs4GE69Luvx3raXLlnJ2o98XZbVqNCQUtDqxJXOrO6e_pXWMvRY
              https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/03/pihak-industri-tidak-boleh-kedekut-ilmu/ 

Tarikh Input: 30/03/2023 | Kemaskini: 30/03/2023 | mohdsyafiq

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
SXDdQAl~