Prihatin Dan Hulur Sokongan Bantu Individu Kurangkan Tekanan Perasaan | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» ARTIKEL » Prihatin dan hulur sokongan bantu individu kurangkan tekanan perasaan

Prihatin dan hulur sokongan bantu individu kurangkan tekanan perasaan

Ringkasan Artikel
Dalam meniti kehidupan seharian, sudah pastinya terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan ada kalanya terdapat situasi yang memberikan tekanan hebat sehingga menimbulkan perasaan yang tidak selesa dalam diri seseorang.


 

 

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Dalam meniti kehidupan seharian, sudah pastinya terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan ada kalanya terdapat situasi yang memberikan tekanan hebat sehingga menimbulkan perasaan yang tidak selesa dalam diri seseorang.

Perasaan ini boleh timbul akibat peristiwa yang dialami oleh individu seperti masalah dalam keluarga, kerjaya, pendidikan, kewangan, rumah tangga, persahabatan, dan sebagainya.

Sudah pasti setiap manusia menginginkan perasaan yang tenang, hati yang sentiasa gembira tanpa berduka, kehidupan yang gembira tanpa menitiskan air mata bahkan minda yang sentiasa berfikiran positif.

Apabila kita tidak dapat menangani perasaan tertekan dengan cara yang sihat, kita mungkin berasa terperangkap, jiwa kosong, hilang kawalan terhadap emosi bahkan berasa putus asa.

Lebih membahayakan apabila individu yang mengalami tekanan perasaan cenderung untuk membunuh diri dan menganggap tindakan tersebut sebagai jalan keluar.

Sebelum ini, media melaporkan, kes bunuh diri di Malaysia meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan pada 2021, berbanding 631 kes pada 2020.

Bagaimanapun, sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan terdapat sedikit penurunan dalam kes kematian bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2022 iaitu sebanyak 981 kes berbanding 1,142 kes pada tahun 2021.

Sungguhpun terdapat penurunan kes, kita sewajarnya terus memberikan perhatian dan tidak memandang enteng terhadap perkara ini selari dengan prinsip Malaysia MADANI untuk menjamin kesejahteraan insan.

Tanda-tanda awal seseorang mengalami tekanan perasaan ialah rasa sedih, kesukaran untuk mempunyai pemikiran positif tentang diri sendiri, kekurangan semangat dalam melakukan aktiviti, tidak mahu bergaul aktif seperti selalu, suka menyendiri, merasa diri tidak berharga, dan merasa hidup tidak bermakna.

Hulurkan sokongan

Sebagai individu dan masyarakat yang prihatin, amat penting untuk kita memberikan sokongan dan pemahaman kepada individu yang menghadapi tekanan perasaan termasuklah memerhatikan rakan sekeliling yang mungkin mengalami tekanan perasaan.

Walaupun ada yang mungkin tidak memahami sepenuhnya pengalaman individu yang menghadapi tekanan perasaan, namun tindakan prihatin kita setidaknya membantu mereka daripada melakukan perkara yang tidak diingini.

Menunjukkan empati, mendengar dengan teliti, dan menawarkan sokongan yang sesuai adalah antara langkah-langkah yang penting untuk membantu rakan yang mengalami tekanan perasaan.

Menurut Pegawai Psikologi Kanan, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Rafidah Sadarudin berkata sokongan memainkan peranan yang penting dalam mempercepatkan proses penyembuhan individu yang tidak sihat. 

Hal ini demikian kerana, apabila seseorang merasa disayangi dan disokong, ia dapat memberikan motivasi dan dorongan kepada mereka untuk ingin sembuh dengan cepat.

Justeru, sokongan emosi, sokongan moral, dan sokongan praktikal daripada keluarga, rakan sebaya, atau kesihatan profesional dapat membantu individu merasa lebih baik dan memberikan keyakinan dalam proses penyembuhan mereka.

Selain itu, menggalakkan mereka untuk mencari bantuan profesional seperti kaunselor atau pakar kesihatan mental juga merupakan tindakan yang baik.

Hakikatnya, tekanan perasaan adalah bahagian semula jadi dalam kehidupan dan tidak boleh dielakkan sepenuhnya. Namun, kita boleh belajar menguruskannya dengan bijak.

Lakukan Ujian Saringan Depression Anxiety Stres Scale (DASS) yang boleh dibuat secara dalam talian sebagai langkah awal untuk mengetahui tahap tekanan perasaan atau depresi yang dialami sama ada berada pada tahap normal, ringan, sederhana, teruk atau sangat teruk.

Bagaimanapun ujian ini hanya sebagai pemantauan kesihatan mental masing-masing kerana pakar psikiatri sahaja yang dapat mengesahkan kesihatan mental seseorang individu setelah pemeriksaan secara terperinci dilaksanakan.

Proses penyembuhan itu sendiri memerlukan masa. Oleh itu, sekiranya terdapat rakan terdekat atau ahli keluarga yang memerlukan khidmat kita sebagai pendengar setia, luangkanlah masa bersama.

Hulurkan bantuan semampu yang kita boleh berikan. Hal mudah yang boleh kita berikan ialah kerap bertanya khabar mereka bagi menunjukkan ada yang masih menghargai dan ambil peduli terhadap diri mereka. -UPM

Tarikh Input: 29/10/2023 | Kemaskini: 29/10/2023 | mohdsyafiq

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
SXEcCAC~