Adakah Benar Pokok Eucalyptus Alat Pembersih Udara Semula Jadi? | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» ARTIKEL » Adakah benar pokok eucalyptus alat pembersih udara semula jadi?

Adakah benar pokok eucalyptus alat pembersih udara semula jadi?

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Oleh kerana beberapa video tular di media sosial yang memberi cadangan untuk meletakkan pokok eucalyptus di dalam tandas seakan menjadi trend.

Rata-rata daripada kita cepat percaya dan mengikuti trend ini tanpa membuat kajian apakah kelebihan dan kekurangan tanaman ini. Cukup sekadar ianya wangi dan boleh menjadi alat pembersih udara. 

Namun begitu, beberapa pakar di Universiti Putra Malaysia (UPM) kurang bersetuju pokok eucalyptus diletakkan sebagai tanaman hiasan yang dikatakan alat pembersih udara semula jadi.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab  berkata,  setakat ini tiada penyelidikan menyatakan ia boleh membersihkan udara secara semula jadi. Namun penggunaan sebenarnya adalah sebagai pewangi memang tidak dinafikan. 

Beliau berkata, minyak pokok ini boleh digunakan sebagai pewangi yang menyegarkan, penyegar udara, kosmetik, minyak wangi dan sabun.

"Selain itu, ia juga sebagai ramuan dalam minyak angin atau urut.  Minyak tersebut mengandungi cineol yang mudah meruap dan memberi bau yang sangat kuat.  

"Disebabkan itu, ada orang yang suka kepada bau segar ini akan menjadikannya keratan untuk digantung di ruang yang perlu kepada kesegaran seperti bilik air. 

Menurut Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Daljit Singh Karam, pokok banyak digunakan dalam industri perkayuan, pulpa dan kertas termasuk perubatan seperti penghasilan minyak angin dan pengawal perosak semula jadi.

Antara produk utama eucalyptus terkenal termasuk kertas A4 Double A, minyak pati, minyak angin dan pulpa. Eucalyptus hibrid ini adalah solusi kepada kekurangan sumber kayu dan mampu mengekang penuaian sumber kayu dalam hutan negara kita yang amat berharga.

Sementara itu,  Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Univeristi Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak, (UPMKB), Dr. Keeren Sundara Rajoo menyatakan pokok Eucalyptus mempunyai kebaikan kepada saluran pernafasan.

Pati minyak yang dihasilkan dari pokok ini dapat menghasilkan rasa yang menenangkan dan menyegarkan apabila dihidu. Disebabkan itu minyak kayu putih dijual secara meluas dan ianya dapat membantu individu yang mengalami masalah pernafasan seperti asma atau alahan, namun kajian masih terhad dalam bidang kesihatan.

"Pelbagai kajian yang dibuat membuktikan bahawa tumbuhan hijau dan semula jadi memberi kesan positif dalam mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental. Jika anda meletakkan pokok eucalyptus di dalam rumah ia akan mengubah suasana rumah lebih santai dan tenang, namun kajian yang teliti mengenai keberkesanan sebenar belum disahkan.

"Jadi sebagai peringatan kepada semua, pokok ini mengandungi sebatian yang berbahaya kepada manusia kerana sesetengah orang mengalami alahan sehingga mengakibatkan ruam, sukar bernafas, atau sakit mata yang teruk," katanya.

Pokok eucalyptus merupakan spesies pokok hutan yang berasal dari Australia. Ia juga dikenali sebagai pokok kayu putih. Di Australia, ia sinonim dengan habitat beruang koala. Selain Australia, beberapa genus eucalyptus ditemui di Indonesia dan Papua New Guinea.-  UPM

Tarikh Input: 28/06/2023 | Kemaskini: 28/06/2023 | mohdsyafiq

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
SXEcCAS~