Latar Belakang JPKPK | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» STAF (JABATAN) » Jabatan Pendidikan Kaunselor Dan Psikologi Kaunseling » Latar Belakang JPKPK

Latar Belakang JPKPK



Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling (JPKPK) merupakan salah satu jabatan daripada enam jabatan di Fakulti Pengajian Pendidikan. Mula berdiri dengan sendiri pada 1 Mei 2004. Entiti asal jabatan ini ialah Unit Bimbingan dan Kaunseling bernaung di bawah Jabatan Pendidikan (1979-2002) dan Jabatan Perlakuan dan Pergerakan Manusia (Jun 2002 – April 2004). Jabatan ini berusaha ke arah kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan, khidmat perundingan dan pengembangan dalam bidang bimbingan dan kaunseling. Jabatan ini telah mengendalikan program Bacelor Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) semenjak tahun 1981 dan merupakan program yang pertama yang ditawarkan di Malaysia dalam bidang ini.

Jabatan ini menjalankan tiga fungsi utama :

• Pengajaran
• Penyelidikan
• Perkhidmatan perundingan dan pengembangan

PENGAJARAN

JPKPK menawarkan program akdemik di peringkat siswazah dan bacelor.

Program Siswazah
Program siswazah yang ditawarkan ialah :

• Doktor Falsafah (Ph.D.) (Bimbingan dan Kaunseling)
• Master Sains (M.Sc.) (Bimbingan dan Kaunseling)
• Master Pendidikan (M.Ed.) (Bimbingan dan Kaunseling)

Doktor Falsafah
Program Ph.D. (Bimbingan dan Kaunseling) menawarkan pengkhususan seperti pendidikan kaunselor dan penyeliaan kaunseling, kaunseling keluarga, kaunseling kerjaya, kaunseling sekolah, kaunseling penyalahgunaan dadah, kaunseling silang-budaya, kaunseling kelompok dan sebagainya. Pelajar dikehendaki menyempurnakan kerja kursus dan disertasi untuk program Ph.D. Penyediaan kerja kursus ini dapat membantu pelajar lebih menguasai sesuatu bidang ilmu itu dengan lebih mendalam.

Master Sains (M.Sc.)
Pelajar yang mengikuti program M.Sc. (Bimbingan dan Kaunseling) perlu mengikuti kerja kursus dan tesis.

Master Pendidikan (M.Ed.)
Pelajar yang mengikuti program M.Ed. (Bimbingan dan Kaunseling) pula perlu mengikuti kerja kursus dan menduduki peperiksaan komprehensif.


Program Bacelor
Program Bacelor Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) menyediakan pelajar dengan kemahiran sebagai kaunselor dalam pelbagai konteks situasi pekerjaan dan sangat relevan dengan keperluan semasa.

Pengiktirafan Profesional
Semua program yang ditawarkan oleh JPKPK menepati piawaian Lembaga Kaunselor. Graduan yang mengikuti program ini mempunyai kelayakan yang cukup untuk diiktiraf sebagai kaunselor berdaftar.

PENYELIDIKAN

Penyelidikan merupakan salah satu kegiatan utama jabatan. Bidang khusus yng dikaji termasuklah pendidikan kaunselor, penyeliaan kaunseling, kaunseling kerjaya, kaunseling sekolah, kaunseling pekerja dan organisasi, kaunseling keluarga, kaunseling kelompok, kaunseling pelbagai budaya, kaunseling penyalahgunaan dadah, perundingan kaunseling ibubapa, teknologi dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, pengujian dan penilaian dalam kaunseling, pengurusan personelia dan penyelidikan tentang teori dan teori berunsur spiritualiti Islam.

PERKHIDMATAN PERUNDINGAN DAN PENGEMBANGAN

Jabatan begitu aktif dalam memberikan khidmat perundingan dan pengembangan. Di antara agensi yang terlibat seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lembaga Kaunselor, Agensi Dadah Kebangsaan, Persatuan Kaunselor Malaysia, Biro Tatanegara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Akademi Percukaian Negara, Institut Sosial Malaysia dan sebagainya.

Jabatan juga mempunyai Klinik Kaunseling Komuniti yang bertujuan untuk membantu pelajar dan staf Universiti Putra Malaysia dari segi kesejahteraan dalam pelbagai aspek kesihatan mental.

KEMUDAHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

JPKPK mempunyai makmal kaunseling individu, kelompok, keluarga dan pengujian dan penilaian untuk melatih bakal kaunselor.

Keterangan lanjut sila hubungi:

Ketua
Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling

Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
43400 U.P.M. Serdang, Selangor Darul Ehsan.
+Tel. : 03-9769 8118
+ Emel : wanmarzuki@upm.edu.my

 

 

Kemaskini:: 09/05/2019 [nazreenp]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
B1566125729