
Serdang, 21 Oktober 2025 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan (JPBK) telah menerima kunjungan akademik daripada Universitas Islam Negeri (UIN) Kiai Haji Achmad Siddiq, Jember, Indonesia. Kunjungan ini dianjurkan oleh Unit Pendidikan Islam, bertempat di Bilik Sidang, Fakulti Pengajian Pendidikan.
Delegasi seramai 22 orang mahasiswa pascasiswazah UIN Jember diketuai oleh Direktur Pascasarjana, Prof. Dr. H. Mashudi, bersama tiga orang pensyarah bidang Pendidikan Agama Islam. Pihak Fakulti Pengajian Pendidikan pula diwakili oleh Profesor Madya Dr. Lilliati binti Ismail, Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, serta Dr. Fathiyah Mohd Fakhruddin, Penyelaras Siswazah Pendidikan Islam.
Sesi kunjungan dimulakan dengan taklimat pengenalan mengenai Fakulti Pengajian Pendidikan yang disampaikan oleh wakil fakulti, diikuti dengan sesi perbincangan dua hala bagi meneroka peluang kolaborasi akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi. Antara aspek yang dibincangkan termasuk pelaksanaan seminar bersama, pertukaran pelajar dan penyeliaan bersama program pascasiswazah.
Majlis turut diserikan dengan seminar akademik mini yang menampilkan pembentangan sembilan orang mahasiswa Doktor Falsafah (PhD) bidang Pendidikan Islam dari UIN Jember, selain perkongsian hasil penyelidikan oleh wakil pensyarah daripada kedua-dua universiti. Sesi ini bukan sahaja menjadi platform ilmu, malah membuka ruang kepada pertukaran idea serta amalan terbaik dalam penyelidikan pendidikan Islam kontemporari.
Dalam ucapannya, Profesor Madya Dr. Lilliati binti Ismail menzahirkan penghargaan kepada delegasi UIN Jember atas kesudian mengadakan kunjungan ilmiah ke Fakulti Pengajian Pendidikan. Beliau menegaskan bahawa kerjasama rentas sempadan ini amat penting dalam memperkukuh jaringan ilmu dan penyelidikan di peringkat serantau. “Fakulti Pengajian Pendidikan sentiasa mengalu-alukan kolaborasi akademik yang dapat memperkaya wacana ilmu, khususnya dalam bidang Pendidikan Islam. Melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman antara dua institusi ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuh kecemerlangan akademik, tetapi juga membina jambatan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat global,” ujar beliau.
Wakil UIN Jember turut menyatakan hasrat untuk menjalin Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Fakulti Pengajian Pendidikan pada masa akan datang. Inisiatif ini dijangka memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran pendidikan tinggi global masa kini.
Kunjungan akademik ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh hubungan akademik serantau serta memperluas jalinan kerjasama ilmiah dalam bidang Pendidikan Islam dan pembangunan modal insan berkualiti.
Date of Input: 23/10/2025 |
Updated: 23/10/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING