SULAM Perkasa Digitalisasi Pedagogi Dan Penguasaan Bahasa Inggeris Di Sekolah | FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
» NEWS » SULAM Perkasa Digitalisasi Pedagogi dan Penguasaan Bahasa Inggeris di Sekolah

SULAM Perkasa Digitalisasi Pedagogi dan Penguasaan Bahasa Inggeris di Sekolah

GAMBAR Majlis Perasmian Program Membudayakan Digitalisasi Pedagogi Bahasa 8.0 (Pendekatan SULAM: Khidmat Komuniti Digital di Sekolah) & English Day 2025.

SULAM Perkasa Digitalisasi Pedagogi dan Penguasaan Bahasa Inggeris di Sekolah

Kuala Lumpur, 11 Jun 2025 – Seramai 186 pelajar Tingkatan Tiga dari SMK Taman Melati telah menyertai Program Membudayakan Digitalisasi Pedagogi Bahasa 8.0 dan English Day 2025, anjuran pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian serta Bacelor Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia.

Program ini merupakan pelaksanaan pendekatan Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) yang menggabungkan elemen pembelajaran akademik dan khidmat komuniti secara bersepadu.

Program Membudayakan Digitalisasi Pedagogi Bahasa 8.0 berfokus kepada pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Inisiatif ini bukan sahaja melatih bakal guru untuk mengaplikasikan pendekatan digital secara berkesan, malah turut menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013–2025) dalam memacu kecemerlangan pendidikan digital. Aktiviti utama seperti Kelas Bahasa Digital memberi peluang kepada murid sekolah menguasai bahasa dengan lebih menarik dan interaktif.

Sementara itu, English Day 2025 menjadi platform bagi meningkatkan apresiasi terhadap bahasa Inggeris melalui pelbagai aktiviti menyeronokkan yang memupuk keberanian murid untuk berkomunikasi dalam bahasa tersebut. Penganjuran English Day ini juga menyokong pelaksanaan Highly Immersive Programme (HIP) di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), seperti yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurut Dr. Siti Nadhirah Abd Rahman, pensyarah program Bacelor Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris dengan Kepujian, "pelaksanaan ini bukan sahaja memberi pendedahan sebenar kepada pelajar universiti mengenai keperluan pendidikan abad ke-21, malah turut memperkasa komuniti sekolah dalam meneroka pendekatan inovatif dalam pembelajaran bahasa."

Sementara itu, pensyarah kursus Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian, Dr. Marzni Mohamed Mokhtar menambah bahawa program ini adalah landasan penting dalam membina keyakinan dan kemahiran pedagogi pelajar melalui aplikasi sebenar di lapangan. “Gabungan teknologi dan pedagogi bahasa membantu pelajar bukan sahaja memahami kandungan secara teori, malah mengasah kemahiran penyampaian dan kreativiti mereka. Ini adalah manifestasi pendidikan holistik yang sangat kami tekankan di FPP.”

Fakulti Pengajian Pendidikan terus komited dalam mendukung agenda transformasi pendidikan negara melalui penglibatan aktif mahasiswa dalam khidmat komuniti yang berimpak tinggi dan berorientasikan masa depan.

 

    

GAMBAR aktiviti English Day 2025

 

    

GAMBAR aktiviti Program Membudayakan Digitalisasi Pedagogi Bahasa 8.0 (Pendekatan SULAM: Khidmat Komuniti Digital di Sekolah).

 

Date of Input: 16/06/2025 | Updated: 16/06/2025 | intanzuliana

MEDIA SHARING

FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (12:59:05am-01:04:05am, 12 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]