
Serdang, 30 Julai 2025 – Satu sesi penerangan dan perbincangan khas mengenai Sejarah Bolasepak Negara telah berlangsung dengan jayanya di Fakulti Pengajian Pendidikan. Program ini merupakan inisiatif kerjasama antara Fakulti Pendidikan dan Malaysia Football Museum yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang warisan serta perkembangan bolasepak tanah air.
Sesi ini telah dihadiri oleh barisan pegawai akademik dan pelaksana dari Fakulti Pendidikan (FPP). Malaysia Football Museum telah diwakili oleh Encik Norrisyam Ramli, Presiden Malaysia Football Museum, Encik Azman Lockman, Timbalan Presiden dan Datuk Azman Adnan, Penasihat Utama.
Dalam sesi tersebut, pihak muzeum berkongsi sejarah dan pencapaian bolasepak negara dari era awal hingga ke zaman moden. Penekanan turut diberikan terhadap usaha pemeliharaan artifak, dokumentasi sejarah pemain-pemain legenda, dan pentingnya mendidik generasi muda tentang nilai dan semangat kesukanan yang dibawa oleh sukan bolasepak.
Sesi yang berlangsung hampir dua jam ini telah memberikan impak positif kepada semua peserta, sekali gus mengukuhkan jalinan antara institusi akademik dan organisasi luar dalam usaha memperkasakan sejarah dan warisan sukan negara.
Menurut Dr. Borhannudin Abdullah, Ketua Jabatan Pengajian Sukan,
“Sesi ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan kita tentang sejarah bolasepak negara, malah membuka ruang baharu kepada para akademik dan pelajar untuk meneroka aspek warisan sukan dari perspektif pendidikan. Ia memberikan inspirasi agar kita terus mendokumentasikan kisah-kisah sukan tempatan yang berharga sebagai sebahagian daripada identiti nasional.”
Date of Input: 31/07/2025 |
Updated: 31/07/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING