PULAU PERHENTIAN SEJAHTERA: MAHASISWA FPP BERBAKTI, KOMUNITI PULAU DISANTUNI.
Pulau Perhentian, 14–15 Jun 2025 – Selaras dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai Institusi Penyelidikan untuk Kesejahteraan Masyarakat, program khidmat komuniti bertemakan "Pulau Perhentian Sejahtera: Komuniti Berbakti, Belia Berinspirasi, Alam Lestari" telah dianjurkan oleh pelajar kursus DCE3207 Kesukarelawanan, Fakulti Pengajian Pendidikan. Seramai 36 orang mahasiswa telah menyertai program selama dua hari ini di Pulau Perhentian, Terengganu. Inisiatif program ini menggambarkan komitmen UPM dalam memperkasa mahasiswa sebagai agen perubahan sosial yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat luar bandar dan kesejahteraan komuniti.
Program ini juga sejajar dengan visi UPM untuk menjadi universiti bereputasi antarabangsa, serta misi UPM dalam menjana ilmu menerusi pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional. Ia menzahirkan nilai-nilai teras universiti seperti ihsan, kepelbagaian dan kelestarian, melalui pendekatan pendidikan berasaskan pengalaman sebenar yang memberi impak positif kepada komuniti.
DCE3207 Kesukarelawanan merupakan subjek elektif amali di bawah Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan (JPPPL), Fakulti Pengajian Pendidikan, yang merangkumi falsafah, konsep, teori dan amalan kesukarelawanan. Penekanan utama diberikan kepada aspek perancangan dan pelaksanaan program sukarela di lapangan sebenar, menjadikan kursus ini sebagai platform untuk membentuk mahasiswa yang prihatin, berdaya saing dan cakna komuniti.
Program ini diketuai oleh pensyarah kursus, Dr. Siti Nur Syuhada Musa, dan disertai oleh dua pegawai pengiring iaitu Dr. Ahmad Aizuddin bin Md Rami daripada Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan (JPPPL) serta Muhammad Zarif bin Hassan @ Zulkifli dari Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan. Antara pengisian utama program termasuklah agihan bakul makanan kepada ibu tunggal, asnaf di sekitar Kampung Nelayan, aktiviti pembersihan pantai (beach cleaning), bicara professional, sesi perkongsian dan kembara ilmu bersama pelajar SK Pulau Perhentian. Pelajar turut mengadakan sesi motivasi, permainan interaktif dan pembelajaran luar kelas bersama anak-anak sekolah sebagai usaha menyuntik inspirasi dan aspirasi pendidikan.
Date of Input: 24/06/2025 |
Updated: 24/06/2025 | mohdsyafiq
MEDIA SHARING