
KUALA TERENGGANU, 31 Julai 2025 – Program Profiling Kerjaya anjuran Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dengan kerjasama Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia bagi tahun 2025 telah melabuhkan tirainya, menandakan penutupan siri pelaksanaan yang merangkumi empat zon utama di seluruh negara. Program ini bermula di Zon Tengah (Shah Alam) pada 2 Julai 2025, diikuti Zon Utara (Pulau Pinang) pada 3 Julai 2025, Zon Selatan (Johor Bahru) pada 30 Julai 2025, dan berakhir di Zon Timur (Kuala Terengganu) pada 31 Julai 2025.
Tiga orang pensyarah dari Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling (JPKPK), FPP UPM telah terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program ini, iaitu Dr. Muhammad Asyraf Che Amat, Dr. Maizatul Mardiana binti Harun, dan Dr. Akmarina binti Ahmad Othman. Turut bersama menjayakan program ini ialah fasilitator daripada kalangan pelajar siswazah dan prasiswazah Program Bimbingan dan Kaunseling yang memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti serta sesi bimbingan bersama para pelajar sekolah.

Program di Zon Timur turut diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, yang hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan pelaksana serta menzahirkan komitmen pihak fakulti terhadap usaha pembangunan kerjaya pelajar sekolah melalui kerjasama strategik antara akademia dan industri.
Tahun 2025 menandakan tahun ketiga berturut-turut penglibatan JPKPK, FPP UPM sebagai rakan pelaksana program. Kerjasama yang konsisten ini mencerminkan kepercayaan berterusan pihak YTN terhadap kepakaran, profesionalisme dan komitmen jabatan dalam menyumbang secara aktif kepada pembangunan kerjaya pelajar di peringkat sekolah.
Menurut Dr. Muhammad Asyraf Che Amat, Ketua Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling merangkap Ketua Projek, “Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkasa pelajar sekolah dengan pengetahuan kerjaya, malah turut membuka ruang kepada pelajar universiti untuk mengasah kemahiran fasilitasi dan komunikasi secara langsung di lapangan. Kami amat menghargai kepercayaan YTN terhadap peranan akademik dalam pembangunan masyarakat.”
FPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak YTN atas kepercayaan yang diberikan, serta tahniah kepada semua pensyarah dan fasilitator atas komitmen tinggi yang telah ditunjukkan. Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluaskan demi manfaat pendidikan serta pembangunan generasi muda negara.
Date of Input: 04/08/2025 |
Updated: 04/08/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING