Ipoh, 22 September 2025 – Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak 2030 telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani bin Mohamad dalam satu majlis di Casuarina Convention Centre, di sini, baru-baru ini.
Pelan strategik tersebut dibangunkan oleh pasukan penyelidik Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) dan Institut Penyelidikan Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan merangkap Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar. Turut bersama dalam pasukan penyelidikan ini ialah 11 orang penyelidik UPM iaitu Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Prof. Madya Dr. Nor Wahiza Abd. Wahat, Dr. Jeffrey Lawrence D'Silva, Tn. Hj. Dzuhailmi Dahalan, Dr. Mohd Faiq Abd Aziz, Dr. Nur Raihan Che Nawi, Dr. Nurfazreen Aina serta Dr. Mohd Ashraff Anuar. Kolaborasi turut melibatkan Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor dan Dr. Mohd Nazri Abdul Raji dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Prof. Amer Hamzah Jantan dari BAC Education.
Kajian pembentukan pelan ini telah merumuskan 31 strategi pemerkasaan pendidikan yang merangkumi lima kluster utama, empat sasaran strategik serta 10 domain pelaksanaan.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, “Pelan ini dijadikan sebagai panduan kepada Kerajaan Negeri, Yayasan Perak, Jabatan Pendidikan Negeri, pelaksana di peringkat akar umbi, sehinggalah masyarakat umum yang akan membawa impak besar kepada ekosistem Pendidikan di Negeri Perak ke arah melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing dalam kerangka Perak Sejahtera 2030.” Dokumen strategik ini diyakini menjadi rujukan penting kepada kerajaan negeri serta pihak berkepentingan dalam memperkukuh sistem pendidikan Negeri Perak secara terancang dan mampan, sekali gus menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Date of Input: 25/09/2025 |
Updated: 25/09/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING