PELAKSANAAN BENGKEL PEMERKASAAN DAN PEMURNIAAN KURIKULUM PROGRAM DIPLOMA DAN BACELOR DALAM BIDANG PEMBANGUNAN BELIA
Serdang, 13 Jun 2025 – Bengkel Pemerkasaan dan Pemurniaan Kurikulum bagi Program Diploma Belia dalam Kerja Pembangunan serta pembangunan kurikulum baharu Program Bacelor Pembangunan Belia dengan Sukan telah berjaya dilaksanakan pada 13 Jun 2025 bertempat di Astana Putra, Serdang.
Bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan (JPPPL), Fakulti Pengajian Pendidikan ini merupakan usaha strategik dalam menambah baik struktur kurikulum sedia ada dan membangunkan program baharu yang lebih selaras dengan keperluan semasa industri dan aspirasi negara.
Menurut Ketua Jabatan JPPPL, Profesor Madya Dr. Nor Wahiza Abdul Wahat, “Bengkel ini bertujuan untuk memurnikan struktur dan kandungan kurikulum Program Diploma Belia dalam Kerja Pembangunan selain merangka kurikulum baharu Program Bacelor Pembangunan Belia dengan Sukan yang berteraskan keperluan pasaran kerja.”
“Melalui Bengkel ini, pelan tindakan bagi pelaksanaan dan penambahbaikan berterusan terhadap kurikulum sedia ada dapat disediakan,” tambahnya lagi.
Bengkel ini turut mendapat suntikan idea dan input berharga daripada tokoh-tokoh akademik serta profesional dalam bidang pembangunan belia dan sukan. Turut hadir memberi sumbangan pemikiran ialah: Profesor Dr. Ismi Arif Ismail, mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Dato’ Dr. Hajah Wasitah Hj. Mohd Yusof, mantan Profesor Adjung Program Belia, Dr. Lee Kwan Meng, mantan Profesor Adjung Program Pendidikan Pengembangan dan Dr. Muhammad Nur Waafi Badruldin, ahli Chapter Alumni JPPPL. Dr. Jufitri Joha dan Dr. Mohd Fauzi Fadzil, alumni UPM yang kini aktif dalam pembangunan belia peringkat nasional turut bersama berkongsi input dalam bengkel ini.
Penglibatan tokoh-tokoh ini telah memperkukuh perbincangan bengkel dalam memastikan kurikulum yang dibangunkan menepati kehendak industri serta menyumbang kepada pembangunan modal insan negara. Hasil bengkel ini dijangka akan menjadi asas kukuh dalam membentuk generasi belia yang berdaya saing, berkemahiran tinggi, dan bersedia menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

Date of Input: 16/06/2025 | Updated: 20/06/2025 | intanzuliana

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 SERDANG
SELANGOR
03-97696200 (PostGraduate)
03-97696101 (Undergraduate)