
Shah Alam, 24 September 2025 – Seramai 25 orang pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian (BPBMDK), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya mengharumkan nama universiti apabila meraih kejayaan cemerlang dalam International Language and Education Invention, Innovation, and Design Exposition (ILEIID) 2025 yang berlangsung di Shah Alam.
Penyertaan mereka adalah melalui pertandingan video inovasi hasil bimbingan Dr. Marzni Mohamed Mokhtar, pegawai akademik dari Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan menerusi kursus LHE3114 (Kreativiti dan Inovasi dalam Pengajaran Bahasa Melayu) serta LHE3116 (Aplikasi Komputer dalam Pengajaran Bahasa Melayu).
Sebanyak lima projek inovasi telah dihantar untuk menyertai pertandingan berprestij di peringkat antarabangsa ini. Hasilnya, pasukan pelajar UPM berjaya membawa pulang satu pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa, sekali gus membuktikan keupayaan dan daya kreativiti pelajar dalam mengintegrasikan teknologi serta pendekatan inovatif dalam pengajaran bahasa.
Senarai projek inovasi dan pencapaian:
ATURBA: Pengaturcaraan Bahasa – Pingat Emas
KOPERKATIF: Inovasi Pembelajaran Kata Adjektif – Pingat Perak
KEBOBA: Pembelajaran Digital Interaktif Kemahiran Bahasa – Pingat Perak
TERIMDAYA: Inovasi Pembelajaran Kreatif dan Interaktif Peribahasa – Pingat Gangsa
PERKASIMPUNO: Inovasi Pembelajaran Kreatif dan Interaktif Simpulan Bahasa – Pingat Gangsa
Menurut Dr. Marzni, pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kebolehan pelajar mengaplikasikan ilmu secara praktikal, malah memperlihatkan komitmen mereka terhadap inovasi dan kreativiti dalam bidang pendidikan bahasa. Beliau turut menzahirkan rasa bangga atas usaha gigih dan semangat kolaboratif yang ditunjukkan oleh semua pelajar sepanjang proses pembangunan projek.
Kejayaan ini secara tidak langsung mengangkat nama Fakulti Pengajian Pendidikan dan UPM di persada antarabangsa serta memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berkarya dan berinovasi dalam dunia pendidikan.
Date of Input: 23/10/2025 |
Updated: 23/10/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING