
Serdang, 11 September 2025 – Jabatan Pengajian Sukan (JPS), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih Pingat Emas dalam pertandingan inovasi Kongres dan Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (kNovasi) 2025 yang berlangsung pada 10 hingga 11 September 2025 di Bangi Avenue Convention Center (BACC). Inovasi yang dipertandingkan bertajuk “Transformasi Pentaksiran Melalui Ujian Kecergasan Jasmani Malaysia (UKJM)”, iaitu sebuah instrumen pengiktirafan komprehensif yang dibangunkan khusus bagi menilai tahap kecergasan fizikal dan kemahiran motor asas bakal guru Pendidikan Jasmani. Instrumen UKJM merangkumi tujuh ujian utama iaitu lompat jauh berdiri, guling hadapan, bangkit tubi bervariasi, mengelecek bola keranjang, ujian bleep, duduk jangkau dan pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI). Pendekatan ini diusahakan bagi memastikan kualiti serta standard profesional bakal guru Pendidikan Jasmani dapat dipertingkatkan secara berterusan.

Ketua Projek, Dr. Nurhidayah Yaakop, berkata kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat seluruh pasukan JPS yang sentiasa komited dalam memperkasa inovasi pengajaran dan pembelajaran.
“UKJM bukan sahaja mengukur tahap kecergasan fizikal, malah berfungsi sebagai instrumen komprehensif bagi memastikan bakal guru Pendidikan Jasmani memiliki standard profesional yang tinggi. Kejayaan ini memberi semangat kepada kami untuk terus menambah baik instrumen ini agar lebih mantap dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya. Menurut beliau, penyertaan dalam pertandingan inovasi ini turut membuka ruang memperkenalkan UKJM kepada komuniti pendidikan dengan lebih meluas, di samping memperoleh maklum balas bernilai daripada pakar serta pengamal dalam bidang Pendidikan Jasmani. Pencapaian ini mencerminkan usaha bersama seluruh warga JPS dan diharap dapat menjadi pemangkin untuk memperkukuh jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak industri serta agensi berkaitan, sekali gus menyumbang secara berterusan kepada pembangunan modal insan negara.
Date of Input: 18/09/2025 |
Updated: 18/09/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING