
Serdang, 15 Oktober 2025 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) Kali ke-997 yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia.
Penganjuran mesyuarat kali ini merupakan sebahagian daripada inisiatif penggiliran lokasi mesyuarat JPU di pusat tanggungjawab (PTJ) bagi membolehkan YBhg. Dato’ Naib Canselor dan ahli-ahli JPU meninjau secara langsung kondisi, kemudahan serta perkembangan semasa di PTJ terlibat.
Program dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan sesi fotografi rasmi melibatkan Ahli JPU bersama Ahli Pengurusan Fakulti Pengajian Pendidikan. Seterusnya, pembentangan hala tuju dan pencapaian fakulti telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, yang menekankan aspek transformasi pendidikan, inovasi pengajaran, kesejahteraan warga fakulti serta hala tuju strategik fakulti dalam mendepani cabaran pendidikan era digital ke arah memperkukuh kedudukan FPP sebagai “Leading Faculty in Educational Studies”.
Dalam ucapan YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha fakulti dalam membangunkan prasarana terkehadapan yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran berimpak tinggi. Beliau turut memuji inisiatif fakulti yang berjaya menarik sokongan dan penajaan strategik daripada rakan industri serta agensi luar, yang memberi impak positif terhadap pembangunan fakulti dan reputasi universiti. Menurut beliau, kolaborasi sebegini memperkukuh ekosistem pendidikan berdaya saing serta menyokong aspirasi UPM sebagai universiti bereputasi antarabangsa.
Fakulti Pengajian Pendidikan menzahirkan penghargaan kepada YBhg. Dato’ Naib Canselor serta seluruh ahli JPU atas kepercayaan yang diberikan untuk menjadi tuan rumah mesyuarat ini, dan komited untuk terus menyumbang ke arah kecemerlangan UPM dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi sejajar dengan visi universiti sebagai universiti bertaraf dunia serta memperkukuh identiti FPP sebagai “Leading Faculty in Educational Studies.”
Date of Input: 16/10/2025 |
Updated: 16/10/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING