
Serdang, 5 Ogos 2025 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan istimewa daripada 48 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan dalam satu program lawatan akademik yang berlangsung di Bilik Sidang FPP, UPM.
Program yang melibatkan 22 pelajar Tingkatan 4 dan 26 pelajar Tingkatan 3, serta diiringi oleh lima orang guru pengiring, Datin Siti Zunaizan binti Sallip (Ketua Panitia Bahasa Inggeris), Puan Nur Adlina binti Mohd Paiz (Penyelaras Lawatan dan alumni Bacelor Pendidikan TESL, FPP UPM), Cik Schelena Yasmin binti Kamil (Penyelaras Program), Cik Nadzratul Anis Suzilah binti Menhad, dan Cik Noor Fadhlin Sakina binti Othman.

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan fakulti dan program-program Bacelor yang ditawarkan oleh FPP, yang disampaikan oleh Dr. Siti Nadhirah binti Abd Rahman. Seterusnya, Cik Alyssa Batrisyia binti Zainal Abidin, alumni Bacelor Pendidikan TESL, telah mengendalikan aktiviti interaktif Bahasa Inggeris yang menceriakan suasana dan berjaya mencetuskan semangat serta keyakinan pelajar untuk berkomunikasi dalam bahasa tersebut.
Para pelajar menyatakan rasa teruja dan seronok menyertai program ini yang memberi peluang kepada mereka untuk tampil ke hadapan, berinteraksi secara aktif, dan mendapatkan pendedahan awal tentang suasana dan peluang pengajian di universiti. Guru-guru pengiring turut menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra, pengurusan yang teratur, serta komitmen pensyarah dan alumni FPP dalam menjayakan sesi perkongsian ilmu dan motivasi.
Program ini bukan sahaja mengeratkan jalinan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah, malah turut menyemai aspirasi dalam kalangan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta menyemarakkan minat dalam bidang pendidikan, khususnya dalam pengajaran Bahasa Inggeris.
Date of Input: 06/08/2025 |
Updated: 06/08/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING