7 Mei 2025, Serdang – Fakulti Pengajian Pendidikan dengan kerjasama Seksyen Kenaikan Pangkat, Pejabat Pendaftar, Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), serta Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat telah menganjurkan Jerayawara Siri Ketiga: Sesi Uji Lari Sistem Kenaikan Pangkat Pegawai Akademik, UPM. Program ini telah berlangsung di Auditorium TVET 1, Fakulti Pengajian Pendidikan dan melibatkan pensyarah untuk kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Madya dan Profesor Gred Khas C (VK7).
Sesi jerayawara ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan sistem yang dibangunkan ini dalam menyokong usaha pensyarah mencapai kecemerlangan kerjaya.
“Sistem ini bukan sahaja membantu memperkemas proses permohonan kenaikan pangkat, malah mencerminkan komitmen UPM dalam menyediakan ekosistem akademik yang menyokong pembangunan kerjaya pensyarah. Diharapkan warga akademik mengambil peluang ini untuk memahami sistem dengan sebaiknya dan memberi maklum balas yang konstruktif demi penambahbaikan berterusan,” ujar beliau.
Pengisian bengkel diteruskan dengan taklimat dan perkongsian daripada Puan Siti Maryam binti Othman dari Pejabat Pendaftar yang menerangkan garis panduan dan keperluan permohonan kenaikan pangkat, serta Puan Karmizan Zawawi dari iDEC yang memberi penerangan teknikal berkaitan sistem, termasuk proses integrasi data dan penggunaan platform digital yang dibangunkan. Sesi ini turut memberi peluang kepada para pensyarah untuk mengemukakan soalan dan maklum balas secara terus kepada pihak pembangunan sistem.
Maklum balas daripada pensyarah amat penting dalam usaha mengenal pasti serta menambah baik proses integrasi data pencapaian pensyarah daripada sistem sumber di UPM ke dalam sistem ini, agar ia dapat digunakan dengan lebih berkesan pada masa hadapan.
Diharapkan sesi ini dapat menyuntik semangat dan iltizam yang lebih tinggi dalam kalangan warga akademik Fakulti Pengajian Pendidikan untuk terus memacu kejayaan diri dan secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan modal insan Universiti Putra Malaysia.
Date of Input: 09/05/2025 |
Updated: 09/05/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING