FPP Jayakan Program Bersih Pantai Di Pulau Tepur, Langkawi: Kelestarian Hijau Diangkat Sebagai Nilai Teras Dalam Program Kerja Berpasukan | FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
» NEWS » FPP Jayakan Program Bersih Pantai di Pulau Tepur, Langkawi: Kelestarian Hijau Diangkat Sebagai Nilai Teras dalam Program Kerja Berpasukan

FPP Jayakan Program Bersih Pantai di Pulau Tepur, Langkawi: Kelestarian Hijau Diangkat Sebagai Nilai Teras dalam Program Kerja Berpasukan

Langkawi, 27 Jun 2025 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Program Bersih Pantai bertempat di Pulau Tepur, Langkawi melibatkan penyertaan Pengurusan dan staf pelaksana FPP. Program ini merupakan salah satu pengisian dalam Program Kerja Berpasukan FPP 2025 di CenangHill Beachfront yang menekankan nilai kerjasama, tanggungjawab sosial dan kesedaran alam sekitar.
 
Bermula seawal jam 9:00 pagi, para peserta bergotong-royong membersihkan kawasan pantai sekitar Pulau Tepur dalam usaha memelihara keindahan semula jadi dan mendidik warga fakulti mengenai pentingnya kelestarian alam sekitar. Aktiviti ini turut memberi peluang kepada staf pelaksana untuk berinteraksi secara santai dan membina semangat pasukan di luar persekitaran kerja harian.
 
  
 
Menurut Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, “Kelestarian hijau bukan hanya slogan – ia adalah tanggungjawab bersama. Program ini membuktikan bahawa setiap warga fakulti, tanpa mengira peranan, memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda hijau dan memupuk budaya prihatin terhadap alam sekitar.”
 
Puan Nadiah Kamaruddin, Penyelaras EKSA FPP berkata “Aktiviti pembersihan ini sangat bertepatan dengan prinsip Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA). Ia bukan sahaja melibatkan amalan kebersihan fizikal, tetapi juga membentuk minda yang lebih sistematik, bertanggungjawab dan peka terhadap penjagaan alam sekitar.”
 
Beliau menegaskan bahawa usaha seumpama ini perlu dijadikan amalan berterusan kerana ianya seiring dengan aspirasi universiti untuk membentuk warga kerja yang holistik, seimbang dan bertanggungjawab kepada masyarakat serta alam sekitar.
Program ini telah berjaya mencetuskan kesedaran kolektif tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan awam, sekali gus mengangkat amalan Kelestarian Hijau sebagai salah satu nilai teras dalam pembentukan sahsiah warga FPP yang progresif dan cakna.
 

Date of Input: 30/06/2025 | Updated: 30/06/2025 | intanzuliana

MEDIA SHARING

FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (01:09:01am-01:14:01am, 12 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]