
1–3 Oktober 2025 | Mindanao State University–Iligan Institute of Technology (MSU-IIT), Mindanao, Filipina
Lima (5) warga Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mewakili universiti dalam Persidangan ASEAN Council of Physical Education and Sports (ACPES) ke-11 yang berlangsung di Mindanao State University–Iligan Institute of Technology (MSU-IIT), Mindanao, Filipina pada 1 hingga 3 Oktober 2025.
Persidangan bertemakan “Influencing the Future of Sports, Health and Physical Education: Bridging Science, Technology and Wellbeing” ini menghimpunkan para sarjana, pendidik, dan pengamal profesional dalam bidang Pendidikan Jasmani, Kesihatan, dan Sukan dari seluruh rantau Asia.
Delegasi UPM diketuai oleh Dr. Roxana Dev Omar Dev, yang turut berperanan sebagai Ahli Lembaga ACPES serta Penceramah Plenari Jemputan. Beliau telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Well-being as Core: Redesigning Physical Education Curricula for Lifelong Impact.”
Turut serta ialah Dr. Nurhidayah Yaakop dan Dr. Azhar Yaacob, pensyarah Jabatan Pengajian Sukan yang masing-masing membentangkan hasil penyelidikan dalam sesi ceramah institusi dan sesi selari. Dua pelajar pascasiswazah, Mohd. Azani Salleh dan Muhammad Naeimmuddin Zakaria, turut mengambil bahagian sebagai pembentang kertas kerja, mewakili barisan penyelidik muda UPM di pentas antarabangsa.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Chancellor Alizedney M. Ditucalan, Canselor MSU-IIT, yang menyifatkan ACPES 2025 sebagai acara bersejarah bagi universiti tersebut. Beliau menegaskan bahawa persidangan kali ini merupakan antara penganjuran terbesar dengan penyertaan 166 delegasi antarabangsa dari negara-negara ASEAN, Jepun dan India, bersama 111 delegasi tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 270 peserta.
Persidangan ini menjadi platform dinamik untuk para pemimpin global, ahli akademik dan pengamal profesional berkongsi idea baharu serta inovatif dalam bidang sukan, kesihatan dan pendidikan jasmani. Selain sesi ucaptama dan plenari, pelbagai sesi selari turut diadakan merangkumi sub-tema seperti Coaching and Athletic Development, Cultural Perspectives in Physical Activity and Sports, Physical Education: Innovation and Pedagogy, Sport Science Performance, serta Sports Management and Ethics.
Majlis pembukaan dan penutupan turut diserikan dengan persembahan seni dan tarian oleh pelajar program Pendidikan Jasmani MSU-IIT yang mencerminkan semangat dan kreativiti tinggi dalam bidang kesenian dan pendidikan jasmani.
Penyertaan UPM dalam ACPES 2025 bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik antarabangsa, malah memperlihatkan komitmen universiti dalam memperkasa bidang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di peringkat serantau dan global.
Date of Input: 13/10/2025 |
Updated: 13/10/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING