
SUBANG JAYA, 24 Oktober – Penerima Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan), Dr. Rahimah Jamaluddin dari Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pengiktirafan yang diterima sempena Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16 yang disampaikan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi, bertempat di Dorsett Grand Hotel, Subang Jaya malam tadi.
Beliau yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Ekonomi Rumah Tangga Malaysia (MAHE) menegaskan bahawa kejayaan ini merupakan hadiah istimewa buat Fakulti Pengajian Pendidikan yang menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya tahun ini.
“Kejayaan ini bukan hanya milik saya, tetapi milik seluruh warga Fakulti Pengajian Pendidikan — daripada kepimpinan Dekan dan Timbalan Dekan, rakan-rakan pensyarah, sehinggalah kepada staf sokongan yang sentiasa memberi kerjasama, sokongan dan tunjuk ajar sepanjang perjalanan saya sebagai pendidik,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelajar-pelajarnya yang sentiasa menjadi sumber inspirasi dalam memperkaya pendekatan pengajaran dan inovasi.
“Setiap langkah dan sumbangan kecil ini saya tujukan kepada semua yang telah bersama-sama menjayakan misi fakulti untuk melahirkan guru dan graduan yang berkualiti tinggi, selari dengan tema ‘Leading in Educational Studies’. Semoga kejayaan ini menjadi simbol komitmen FPP dalam memartabatkan bidang pendidikan, Sains Rumah Tangga dan TVET di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar beliau.
Anugerah tersebut menjadi bukti keutuhan budaya akademik dan semangat inovasi yang diterapkan dalam kalangan warga UPM dalam memperkasa kualiti pendidikan tinggi negara.
Date of Input: 03/11/2025 |
Updated: 03/11/2025 | intanzuliana
MEDIA SHARING