BENGKEL SIRI 1 UNI@MADANI: KRAF KREATIF FABRIK TERPAKAI: Pemberdayaan Wanita, Kelestarian Alam, Penjanaan Pendapatan | FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
» NEWS » BENGKEL SIRI 1 UNI@MADANI: KRAF KREATIF FABRIK TERPAKAI: Pemberdayaan Wanita, Kelestarian Alam, Penjanaan Pendapatan

BENGKEL SIRI 1 UNI@MADANI: KRAF KREATIF FABRIK TERPAKAI: Pemberdayaan Wanita, Kelestarian Alam, Penjanaan Pendapatan

26 Julai 2025, Serdang – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan jayanya telah menganjurkan Bengkel Siri 1: Projek Komuniti@Uni@MADANI bertemakan “Kraf Kreatif Fabrik Terpakai”. Bengkel ini telah menghimpunkan seramai 50 peserta daripada kalangan ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), dan suri rumah dari keluarga B40/asnaf, sekali gus mencerminkan aspirasi inklusif projek berimpak tinggi ini.

Bertempat di Auditorium TVET 1, Makmal Kecemerlangan TVET, FPP UPM, bengkel dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti taklimat pengenalan projek oleh Dr. Rahimah Jamaluddin, dari Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan selaku Ketua Projek Uni@MADANI. Mengukuhkan semangat peserta, sesi ta’aruf diteruskan dengan ceramah motivasi bertajuk “Potensi Wanita: Dari Impian ke Tindakan” yang disampaikan oleh Pn. Rafidah Sadarudin, Pegawai Psikologi, Hospital Sultan Adbul Aziz Shah. Ceramah ini memberi inspirasi dalam mengenal potensi diri, membina keyakinan serta menetapkan matlamat hidup yang lebih terarah.
 
 
 
Acara diteruskan dengan Bengkel Jahitan Asas yang dikendalikan oleh Pn. Rosinar Johari, Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal memberi penekanan kepada kemahiran menjahit secara praktikal menerusi demonstrasi dan bimbingan menghasilkan keychain menggunakan fabrik terpakai. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran peserta, malah memperkenalkan konsep kraf lestari sebagai sumber pendapatan alternatif.
Bengkel ini turut menerima kunjungan istimewa YBhg. Prof. Dr. Arifin bin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, yang hadir memberikan sokongan moral kepada para peserta serta pasukan pelaksana projek. Kehadiran beliau menyuntik semangat dan memperkukuh komitmen universiti dalam memacu kesejahteraan komuniti melalui pendidikan dan pemberdayaan.
 
Projek ini merupakan inisiatif komuniti di bawah Geran Uni@MADANI dengan pembiayaan Kementerian Kewangan Malaysia, menyasarkan wanita dari komuniti inklusif untuk diberdaya melalui aktiviti kraf kreatif yang bukan sahaja berpotensi menjana pendapatan, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Fakulti Pengajian Pendidikan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua peserta dan penganjur yang telah menjayakan bengkel ini. Diharapkan bengkel-bengkel seterusnya akan terus memberi impak positif dan berterusan kepada komuniti sasaran.

Date of Input: 28/07/2025 | Updated: 28/07/2025 | intanzuliana

MEDIA SHARING

FACULTY OF EDUCATIONAL STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696100
-
X, (12:19:05am-12:24:05am, 12 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]