‘Pembelajaran-berasaskan Perkhidmatan’ Cara Inovatif Pastikan Keberkesanan Pengajaran | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» BERITA » ‘Pembelajaran-berasaskan perkhidmatan’ cara inovatif pastikan keberkesanan pengajaran

‘Pembelajaran-berasaskan perkhidmatan’ cara inovatif pastikan keberkesanan pengajaran

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Noor Azreen Awang

 

 

SERDANG - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan inovasi ‘pembelajaran-berasaskan perkhidmatan’ (service learning) yang merupakan cara inovatif untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas melalui amalan kerja praktikal seterusnya memindahkan amalan tersebut ke industri dan komuniti setempat.

Ia berkait rapat dengan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui penggabungan pengetahuan teoretikal dan kemahiran praktikal.

Inovasi itu diperlukan bagi pengajaran dan pembelajaran bagi menyesuaikan pelajar dengan persekitaran kehidupan sebenar alam pekerjaan, membangunkan kemahiran kebolehkerjaan (employability) pelajar selaras keperluan Revolusi Industri 4.0 dan kemahiran untuk bekerja abad-21, serta untuk menerapkan langkah keselamatan dan pencegahan kemalangan melalui amalan pengetahuan kepada praktikal.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Muhd Khaizer Omar dari Fakulti Pengajian Pendidikan UPM berkata, ‘pembelajaran-berasaskan perkhidmatan’ bertujuan mengintegrasikan perkhidmatan komuniti dan hasil pembelajaran secara holistik.

Katanya, pelajar menterjemahkan pengetahuan teoretikal dan pengalaman praktikal untuk dikongsi dengan masyarakat, dan ia juga akan membantu pelajar memupuk tanggungjawab sivik, kemahiran sosial, dan keperibadian positif.

“Secara tidak langsung, ia meningkatkan keyakinan  dan mendedahkan pelajar kepada budaya pemikiran kritis dalam mencapai pemahaman yang lebih mendalam mengenai kandungan pembelajaran,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pembelajaran-berasaskan perkhidmatan berjaya membantu dan meningkatkan pengetahuan komuniti mengenai maklumat dan teknologi terkini yang terdapat di pusat pembelajaran pelajar.

Beliau berkata, pembelajaran-berasaskan perkhidmatan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pelajar dan memperlihatkan pelajar kepada budaya pemikiran kritis untuk mencapai pemahaman yang lebih mendalam mengenai kandungan pengetahuan.

“Pengenalan metodologi pengajaran ini amat bermakna kerana pelajar hari ini dibebani dengan kurikulum yang sangat menekankan pengetahuan teoretikal dan buku semata-mata. Persekitaran pembelajaran semasa adalah membosankan dan berulang-ulang,” katanya.

Menurutnya, pembelajaran-berasaskan perkhidmatan terbukti menjadi platform untuk mempromosikan rasa tanggungjawab, penyayang, kewarganegaraan, kompeten, dan proses pembenihan ilmu kepada masyarakat dan negara.

“Manfaat pembelajaran-berasaskan perkhidmatan menjadi medan kepada persekitaran pembelajaran yang boleh melatih bakat pelajar dan menggilap potensi mereka. Di samping itu, tanggungjawab terhadap masyarakat dan komuniti diterjemahkan melalui pengalaman yang diperoleh sewaktu menjalani pembelajaran-berasaskan perkhidmatan.

Inovasi itu memenangi pingat emas pada Putra InnoCreative Carnival In Teaching and Learning 2018, emas pada Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), memenangi Anugerah Penyelidik Cemerlang 2018, dan Anugerah Emas Kertas Kerja Berbentuk Poster pada Konvensyen Kebangsaan Ke-2 Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Selain beliau, ahli kumpulan penyelidik itu ialah Prof. Madya Dr. Abdullah Mat Rashid, Dr. Mohd Hazwan Mohd Puad dan pelajar pasca siswazah tajaan biasiswa Kementerian Pendidikan, Mohd Fakhrul Azizie Mohd Zaid.   – UPM

 

 

Sumber : https://www.upm.edu.my/news/service_based_learning_as_an_innovative_way_to_ensure_effective_teaching-53531?L=bm

Tarikh Input: 01/11/2019 | Kemaskini: 01/11/2019 | asyrafamin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
C1600959978