EthoshuntTM, Aplikasi Mudah Alih Berasas Gamifikasi Dalam Pengajaran, Pembelajaran Pendidikan Etika | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» BERITA » EthoshuntTM, aplikasi mudah alih berasas gamifikasi dalam pengajaran, pembelajaran pendidikan etika

EthoshuntTM, aplikasi mudah alih berasas gamifikasi dalam pengajaran, pembelajaran pendidikan etika

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Nor Azreen Awang

 

SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya membangunkan EthoshuntTM, sebuah aplikasi mudah alih berasaskan gamifikasi dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan etika.

EthoshuntTM direka dan dibangunkan melalui pemahaman elemen permainan yang terdapat dalam konsep pencarian harta karun tradisional untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran pendidikan etika yang lebih bermakna.

EthoshuntTM menggabungkan beberapa elemen permainan seperti dinamika permainan, mekanik permainan, mata dan petunjuk untuk menggalakkan pembelajaran pendidikan etika secara lebih menyeronokkan.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Noor Syamilah Zakaria berkata mekanik permainan yang diintegrasi dalam EthoshuntTM mencetuskan penerokaan maklumat yang relevan dengan kursus pendidikan etika yang diajar dan melibatkan elemen persaingan sebagai dinamika dalam permainan.

Justeru katanya, EthoshuntTM berfungsi sebagai penggerak motivasi berasaskan teknologi dalam menambah baik aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, inovasi seperti itu amat diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan etika kerana terdapat tanggapan bahawa kursus pendidikan etika merupakan antara kursus yang agak sukar, kurang menarik minat pelajar, terlalu banyak topik bersifat abstrak yang perlu dikuasai oleh pelajar, serta tiada kaedah mengajar spesifik yang dapat membantu mencetuskan minat pelajar untuk terus menguasai kandungan kursus.

Sehubungan itu kata beliau, EthoshuntTM dibangunkan untuk melengkapi kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konservatif dalam penyampaian ilmu serta memastikan kebolehadaptasian pengetahuan pelajar dalam situasi kehidupan sebenar.

 

Dr. Noor Syamilah yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan berkata EthoshuntTM boleh diaplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan etika dengan pengajar kursus menghantar petunjuk yang relevan dengan kandungan kursus melalui suatu aplikasi Android; yang mana petunjuk akan diterima secara automatik melalui mesej, manakala notifikasi juga akan terpapar pada skrin telefon pintar setiap pelajar.

Katanya, jenis petunjuk boleh dibahagikan kepada dua aktiviti iaitu mencari maklumat tersembunyi di dunia virtual yang memerlukan setiap pelajar mencari bahan daripada sumber internet seperti cerita, pautan, filem, nota, petikan, imej ataupun bunyi; dan satu lagi jenis aktiviti ialah mencari maklumat tersembunyi di dunia realiti yang memerlukan setiap pelajar mencari pembayang fizikal yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan.

Beliau berkata, setiap pelajar akan menghantar jawapan untuk setiap aktiviti kepada pengajar kursus dan mata akan diberikan untuk setiap jawapan yang betul.

Beliau merumuskan, EthoshuntTM akan dapat mewujudkan peluang kepada setiap pelajar untuk mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan etika secara lebih persuasif dan efektif.

“Melalui proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan inovasi sebegini, pelajar diharapkan akan dapat mengembangkan kefahaman, kompetensi dan membuat refleksi bermakna berkaitan dengan pengalaman yang digarap serta serta pemerhatian yang dicerap semasa proses pencarian maklumat bermakna melalui penyertaan dalam EthoshuntTM ini.

“Buat pengajar kursus, EthoshuntTM diharapkan akan dapat mengukuhkan minat dan kecintaan untuk mengajar pendidikan etika dengan lebih kreatif; dan dapat membantu mempelbagaikan kaedah penyampaian kandungan kursus secara lebih berinovatif,” katanya.

Selain Dr. Noor Syamilah, ahli lain dalam kumpulan penyelidik itu ialah Profesor Dr. M. Iqbal Saripan, Profesor Dr. Alyani Ismail dan Cik Neerushah Subarimaniam.

Inovasi ini memenangi pingat emas pada Pameran dan Pertandingan Inovasi Kaunseling Antarabangsa 2019 (i-COUNNOVAS 2019) - UPM.

 

Tarikh Input: 23/09/2019 | Kemaskini: 23/09/2019 | asyrafamin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
C1574378383