Ecobrick Challenge Tekankan Pengurusan Pembuangan Sampah Dengan Kelestarian Alam | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» BERITA » Ecobrick Challenge tekankan pengurusan pembuangan sampah dengan kelestarian alam

Ecobrick Challenge tekankan pengurusan pembuangan sampah dengan kelestarian alam

Oleh: Dr Roxana Dev Omar Dev

 

SERDANG - Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan program Ecobrick Challenge 2020 @ UPM (EBC2U) untuk meningkatkan  kesedaran kelestarian alam dan promosi tingkah laku kesihatan dalam komuniti bagi pelajar kursus SPE 3308 Kesihatan Komuniti dan Kesejahteraan.

Kursus itu adalah kursus minor yang perlu diambil dalam program Bachelor Pendidikan Jasmani bawah Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan. 

Dengan menghubungkan kepentingan pengurusan pembuangan sampah dengan kelestarian alam, ia diharap dapat menyemai kesedaran kepada pelajar di Fakulti Pengajian Pendidikan dan warga UPM.

Melalui pendedahan itu, ilmu berkenaan diharap dapat meningkatkan pengurusan sampah pada tempat tinggal dan tempat kerja, apabila pelajar bergraduat kelak. Selain itu persekitaran kolej dan fakulti di UPM dapat dijaga dengan lebih sistematik dan berlestari untuk masa terdekat dan jangka panjang.

Program Ecobrick Challenge 2020 @ UPM pada awalnya dirancang untuk peserta yang terdiri daripada pelajar UPM yang mendiami di sembilan kolej kediaman di UPM sahaja.

Namun ekoran pandemik Covid-19, beberapa perubahan dilaksanakan dengan membuka pertandingan itu kepada semua warga UPM yang menetap di kolej dan luar kolej. 

Antara tujuan utama program adalah untuk memperkasakan peranan individu dalam pengurusan pembuangan sampah yang berkesan bagi kesejahteraan hidup dalam kawasan setempat, serta meningkatkan rasa tanggungjawab dan rasa kepunyaan kendiri (self-belonging) sebagai warga UPM.  

Program dijalankan dalam pelbagai peringkat.

Penganjur utama bagi program adalah pensyarah kursus, Dr Roxana Dev Omar Dev dan para pelajar kursus SPE 3308, di bawah sokongan Fakulti Pengajian Pendidikan, dan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UPM. 

Peserta program adalah penghuni/pelajar/pekerja yang menetap/kerja di kolej dan fakulti di UPM yang diselia pelajar kursus SPE 3308 yang dilantik sebagai duta EBC2U.

Pelajar kursus SPE 3308 yang dilantik telah dilatih sebagai fasilitator untuk mengetahui kaedah pembuatan ecobrick yang betul oleh pakar daripada Impactlution supaya segala ecobrick yang dihasilkan adalah mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Pembuatan ecobrick perlu mengikut spesifikasi kerana ia boleh digunakan dalam pembinaan seperti pagar rumah, meja, dan kerusi.

Pertandingan bermula pada 21 Mac dan akan berakhir pada 7 Julai depan. 

Ecobrick adalah botol plastik yang dipadatkan dalam spesikasi tertentu dengan plastik yang tidak boleh dikitarkan semula, iaitu ‘single use plastic’ atau plastik sekali guna seperti beg plastik, pembungkus makanan dan pek ubat.

Jadi kenapa ecobrick?  Ecobrick merupakan satu penyelesaian pengurusan sampah yang murah dan mudah kerana tidak memerlukan kepakaran dan kos yang tinggi untuk menghasilkan satu ecobrick yang betul. 

Bahan keperluan untuk membuat ecobrick hanyalah plastik sekali guna yang telah dibersih dan dikeringkan, botol plastik air minuman 1.5L dan sebatang kayu.

Pembuatan ecobrick terbahagi kepada dua fasa. Fasa pertama adalah fasa penyediaan sampah plastik sekali guna iaitu kutip, basuh, dan kering manakala fasa kedua adalah mampatan sampah yang telah dibersihkan ke dalam botol air soda/karbonat yang berisipadu 1.5 L.

Satu ecobrick yang mengikut spesifikasi akan kelihatan mampat dan padat daripada setiap sudut dan sisi botol, serta mempunyai berat sekurang-kurangnya 500g.  Cara pembuatan ecobrick disediakan dalam bentuk video dan pautan itu telah diberikan kepada peserta oleh urusetia pertandingan.

Peserta yang berjaya membina ecobrick yang terbanyak dengan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dinobatkan sebagai pemenang dan diberi hadiah wang tunai. 

Program ini diharap membawa manfaat dan dijalankan secara lestari atau berterusan sehingga dapat menyumbangkan penjanaan dana serta peningkatan daya kreativiti dalam kelestarian alam dalam kalangan warga UPM. 

Penghasilan ecobrick juga boleh mengisi masa dan mengasah bakat serta inovasi pelajar UPM yang masih berada di kampung halaman masing-masing. - UPM

Tarikh Input: 03/07/2020 | Kemaskini: 03/07/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
C1600962909