Bidang Pomologi Bantu Pertanian Negara, Tingkat Tanaman Buah-buahan | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» ARTIKEL » Bidang pomologi bantu pertanian negara, tingkat tanaman buah-buahan

Bidang pomologi bantu pertanian negara, tingkat tanaman buah-buahan

 

Mendengar sahaja bidang pomologi ianya kurang dikenali umum malah ianya sebenarnya merupakan salah satu bidang penting dalam sektor pertanian negara dan adalah antara salah satu bidang dalam hortikultur yang memfokuskan dalam pengurusan buah-buahan.

Pengarah Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Sakimin yang juga merupakan pakar pomologi berkata, bidang tersebut adalah penting bagi membantu masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mereka dalam pengurusan tanaman buah-buahan.

“Pengurusan yang optimum penting untuk petani berskala kecil atau berskala industri bagi mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan pendapatan. Selain itu pemahaman terhadap keperluan pengguna akhir atau bagi tujuan jualan eksport sangat penting.

“Ini mencakupi pengetahuan dari penanaman, kualiti produk dan pembungkusan bagi mendapatkan kuantiti dan keuntungan yang tinggi di samping dapat memuaskan ke hendak dan citarasa pengguna,” katanya.

Tambah beliau, tugas pomologi bermula dari peringkat nurseri iaitu menghasilkan kualiti anak benih yang baik bagi tujuan penanaman.

“Kemudiannya pada peringkat penanaman melalui amalan agronomi yang betul melalui pembajaan, pengairan dan persekitaran.

“Pada peringkat penjagaan seperti pemangkasan serta kawalan perosak dan penyakit sehingga ke peringkat penuaian yang akan mempengaruhi kualiti buah-buahan yang akan sampai kepada pengguna atau peminat buah-buahan,” katanya.

Beliau sebelum ini telah menjalankan kajian berkaitan jarak penanaman dan kadar pemberian baja terhadap tanaman nanas dan melalui kajian beliau mendapati bahawa saiz buah dapat dikawal melalui pemberian jumlah baja atau melalui kepadatan tanaman yang dapat menyumbang kepada pertambahan jumlah pendapatan hasil dan pengurangan kos baja petani.

“Ilmu dalam mengamalkan kaedah penanaman yang betul melalui aktiviti pengembangan kepada syarikat berskala industri juga secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kuantiti dan jumlah hasil.

“Selain itu naik taraf pendapatan dan sosio ekonomi masyarakat dengan menyediakan ruang pekerjaan oleh majikan dan meningkatkan pendapatan syarikat yang mengusahakan tanaman nanas ini secara komersil,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, UPM berkata untuk jayakan sektor pertanian negara ianya memerlukan tunjang kesepaduan serta sokongan oleh kerajaan atau universiti awam bagi mencapai misi utama bagi memperkukuhkan kecukupan dan keterjaminan bekalan makanan negara.

Beliau berkata ianya perlu dilihat dari aspek perniagaan dan pengkomersilan sama ada dari peringkat huluan atau hiliran.

“Akar umbi kepada pembangunan pertanian perlu diperhalusi dan saya yakin dengan kepakaran yang ada di UPM dasar mencapai visi keterjaminan makanan negara dapat di capai,” katanya.

Prof. Madya Dr. Siti Zaharah yang berasal dari Batu Pahat, Johor turut kongsikan pandangan beliau mengenai presepsi masyarakat beranggapan bidang pertanian tiada masa depan yang sebenarnya “Pertanian adalah Kekayaan”.

Beliau berkata, UPM sebagai sebagai institusi pendidikan terulung pertanian perlu lebih diperkasakan dengan menggembling seluruh sumber dan tenaga untuk mencapai hasrat tersebut.

“Dengan perancangan pembangunan jangka sama pendek dan panjang perlu dilakukan secara terperinci berfokuskan kepada memenuhi keperluan pendidikan, pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan pertanian,” katanya.

Beliau berkata perspektif komuniti dan industri akan berubah apabila universiti mempamerkan persekitaran dan amalan pertanian yang sejajar dengan zamannya.

Selain itu, pengembangan pertanian dalam membentuk lebih ramai bakat pertanian negara menjadi medan rujuk serta pertukaran dan perkongsian pengalaman bersama syarikat industri juga perlu dipergiatkan.

“Saya yakin UPM boleh melahirkan graduan terbilang dan cekal dalam memegang tampuk kepimpinan utama institusi atau syarikat dalam memperjuangkan dan mempertahan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Tarikh Input: 20/02/2023 | Kemaskini: 20/02/2023 | mohdsyafiq

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
SXFXNAJ~