Sejarah Penubuhan | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» MENGENAI KAMI » Sejarah » Sejarah Penubuhan

Sejarah Penubuhan

Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) ditubuhkan pada 15 Januari 1975. Pada awal penubuhannya, FPP dikenali sebagai Fakulti Perkhidmatan Pendidikan selaras dengan fungsi utama Fakulti pada ketika itu. Ia menawarkan kursus-kursus kepada pelajar yang mengikuti program pengajian Diploma Sains dengan Pendidikan dan Bacelor Sains dengan Pendidikan (Kepujian) yang menawarkan kursus-kursus elektif dan umum yang diambil oleh pelajar daripada pelbagai fakulti di Universiti Pertanian Malaysia ketika itu.

Mulai 1976, FPP mula menawarkan program pengajiannya sendiri bermula dengan program Bacelor Pendidikan (Sains Pertanian) dan Bacelor Pendidikan (Sains Rumah Tangga). Pada awal 1980an, FPP menambahkan lagi program pengajian yang meliputi Bacelor Pendidikan dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling, Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama, Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, dan Pendidikan Jasmani.

 

Pada awal penubuhannya, FPP hanya mempunyai tiga (3) jabatan, iaitu Jabatan Pendidikan, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Jabatan Bahasa. Pada 1989, FPP mengalami perubahan struktur apabila dua daripada tiga jabatan tersebut, iaitu Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Jabatan Bahasa membentuk fakulti baharu. Jabatan Sains Kemasyarakatan bergabung dengan Jabatan Pembangunan Manusia, Fakulti Pertanian untuk menjadi Fakulti Ekologi Manusia. Sementara Jabatan Bahasa bergabung dengan Jabatan Komunikasi, Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan untuk menjadi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

 

Pada 1996, berikutan dengan penyertaan Jabatan Pendidikan Pengembangan, FPP mempunyai dua jabatan iaitu Jabatan Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Pengembangan. Pada 1997, Jabatan Pendidikan Pengembangan telah ditukar nama kepada Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan.

 

Pada 2002, FPP sekali lagi mengalami perubahan struktur. Enam jabatan baharu ditubuhkan sebagai rombakan semula Jabatan Pendidikan. Jabatan baharu yang ditubuhkan ialah Jabatan Asas Pendidikan, Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Jabatan Pengajian Perlakuan dan Pergerakan Manusia dan Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal. Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan kekal seperti sedia ada. Pada 2004, perubahan struktur berlaku di mana Jabatan Pengajian Perlakuan dan Pergerakan Manusia telah dirombak menjadi dua jabatan iaitu Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling dan Jabatan Pengajian Sukan.

 

Fakulti ini berperanan untuk melahirkan guru yang mengajar di sekolah menengah dan pegawai yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sumber manusia. Kini FPP menawarkan Bacelor Pendidikan dalam biang Sains Pertanian, Sains Rumah Tangga, Pendidikan Jasmani, Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama, Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, serta Bimbingan dan Kaunseling.

 

Selain Bacelor Pendidikan, FPP menawarkan Bacelor Sains (Pengurusan Sumber Manusia) yang bertujuan menghasilkan pegawai pembangunan sumber manusia untuk berkhidmat di agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan. Fakulti juga menawarkan program Diploma Belia dalam Kerja Pembangunan untuk melahirkan pekerja belia. Program ini dimulakan pada tahun 1999 dan ia dikendalikan secara jarak jauh yang mengambil masa selama dua tahun. Program ini juga merupakan 'feeder' program untuk pengajian B.S. (PSM). Graduan program diploma ini mempunyai prospek kerjaya yang baik dalam organisasi dan komuniti seperti Pembantu Pegawai Belia dan Sukan, Pegawai Belia dan Sukan, Penolong Pegawai Kaunseling, Penolong Pegawai Pembangunan Komuniti dan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat.

 

Tujuan Fakulti ini ditubuhkan adalah untuk:

 

  • mengelola program pendidikan perguruan, pendidikan pengembangan dan pembangunan sumber manusia;
  • menyelaraskan program pengajian siswazah berkaitan dengan bidang pendidikan guru;
  • menjalankan penyelidikan berkaitan bidang pendidikan, pengembangan dan pembangunan sumber manusia; dan
  • memberikan perkhidmatan profesional dan perundingan kepada agensi kerajaan

 


Kemaskini:: 20/03/2014 [umizat90]

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
SXDcRAI~