Silaj Bantu Penternak Ruminan Jamin Sekuriti Makanan | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» ARTIKEL » Silaj bantu penternak ruminan jamin sekuriti makanan

Silaj bantu penternak ruminan jamin sekuriti makanan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG – Penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia menyaksikan  para penternak ruminan juga terkesan dengan jaminan sekuriti makanan apabila harga makanan dedak dan pelet semakin meningkat di pasaran dan mereka terpaksa menanggung kos operasi tinggi.

Selain kenaikan harga logistik, pengaruh pasaran luar serta krisis Rusia-Ukraine turut menyumbang kepada kenaikan harga bekalan bahan mentah membuat makanan ternakan yang sering diimport.

Perkara ini turut menggusarkan perasaan pengguna kerana terkesan dengan kekurangan bekalan makanan seperti daging.

Lantas, pemberian rumput napier atau rumput gajah dalam bentuk silaj merupakan alternatif makanan kepada ternakan ruminan.

Silaj merupakan makanan ternakan ruminan yang terhasil melalui proses pemeraman atau penapaian rumput napier dalam keadaan kedap udara yang boleh disimpan lama dan dijadikan sebagai stok bekalan makanan.

Menurut Pakar Sains Pastura, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Shokri Jusoh berkata silaj yang dibuat dengan sempurna dan dalam keadaan bermutu boleh disimpan untuk jangka masa yang panjang tanpa kemerosotan kandungan nutriennya.

“Silaj ini boleh disimpan dalam tempoh yang lama bahkan bertahun mengikut cara penyimpanan yang betul dan perkara paling penting ialah bekas penyimpanan rumput tersebut perlu kedap udara.

“Tempoh pemeraman ini perlu dilakukan selama dua minggu sebelum diberikan kepada ternakan tetapi masih boleh diberikan lebih awal daripada tempoh tersebut namun ia perlu dihabiskan dalam tempoh dua hari sekiranya silaj telah dibuka bagi mengelakkan kerosakan,” katanya.

Beliau berkata, penghasilan silaj ini membantu para penternak atau pengusaha rumput napier melakukan pemotongan rumput dapat dilakukan mengikut had umur tuaian.

“Kadang-kadang pengeluaran rumput ini lebih daripada yang diperlukan sebab rumput ini jika kita tidak tuai dalam masa sebulan setengah akan menjadi lebih keras dan tua bahkan kandungan nutrien juga semakin menurun.

“Tempoh lima hingga enam minggu merupakan umur rumput napier sesuai untuk dituai dan uniknya rumput jenis ini kita boleh potong secara berulangan kerana ia akan tumbuh kembali selepas dipotong,” katanya.

Menurutnya, silaj ini sering dibuat dalam skala yang besar oleh penternak haiwan ruminan negara yang bermusim sejuk ditambah pula musim salji yang merencatkan pertumbuhan rumput.

Di Malaysia pula kebiasaannya hasil penyimpanan silaj ini akan memudahkan dan membantu penternak sewaktu bencana seperti musim banjir, kemarau mahupun musim perayaan.

Proses penghasilannya juga mudah yang mana setelah rumput napier dikumpul dan dipotong, ia akan diracik atau dicincang menjadi lebih kecil menggunakan mesin pemotong kemudian disimpan dalam bekas penyimpanan.

“Mesin perincih sangat diperlukan bagi memudahkan proses rumput untuk dipek di dalam plastik atau tong sebab kita perlu keluarkan sebanyak mungkin udara daripada bekas penyimpan.

“Silaj ini juga boleh ditambah gula merah atau molasses yang akan meningkatkan kemanisan pada makanan ini serta menambah selera makan haiwan ternakan,” katanya. 

Dalam pada itu, keperluan rumput napier dalam penghasilan silaj bagi menjamin sekuriti makanan ini membuka satu industri tanaman baharu.

Pengusaha rumput napier yang mempunyai ilmu pembuatan silaj juga dapat membuka satu pasaran baharu dengan menjual silaj secara bungkusan kepada penternak di pasaran.

“Pengusaha rumput napier yang melihat kepentingan dan menyedari bekalan makanan ternakan ruminan kurang di pasaran boleh menambah pendapatan dengan menjual silaj.

“Kebiasaan pengusaha rumput napier yang mempunyai tenaga pekerja akan menjual silaj dalam bungkusan plastik 25kg dengan harga RM 10-12,” katanya ketika ditemui di Unit Ruminan, Ladang 15 UPM.

Tambahnya, usaha ini dapat membantu penternak mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi bahkan mengurangkan kos makanan ternakan ruminan dan menambah jumlah pengeluaran bekalan daging. -UPM

Tarikh Input: 31/01/2023 | Kemaskini: 31/01/2023 | mohdsyafiq

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
SXDdEAE~